SUNGAI RUAL - Sambutan hari guru tahun ini pasti meninggalkan kenangan manis buat dua murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual di sini apabila terpilih menerima basikal dari Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pengarah Program Empower ECER-Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), Surain Kanda berkata, hadiah berkenaan sebagai dorongan kepada mereka yang mencatat jumlah kehadiran ke sekolah paling tinggi.

“Semoga kedua-dua penerima, Nurul Azida Wahab dan Zaharin Tahir terus bersemangat selain menjadi pendorong kepada yang lain sentiasa ke sekolah.

“Situasi di SK Sungai Rual ini tidak sama dengan sekolah lain menyebabkan usaha-usaha menarik kedatangan murid ke sekolah perlu dipelbagaikan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Surain berkata demikian mengulas mengenai Sambutan Hari Guru dan Program Sentuhan Kasih Guru dan Ibu Bapa Pengikat Anak-Anak Peringkat SK Sungai Rual di sini.

Menurutnya, di samping meraikan murid dan guru, pihaknya juga mengundang ibu bapa menjayakan majlis sambutan tersebut Khamis lalu.

Jelasnya, aktiviti melibatkan penyertaan ketiga-tiga pihak berupaya mengukuhkan hubungan dan mewujudkan perkembangan pendidikan lebih positif.

“Guru, ibu bapa dan murid saling memerlukan. Gabungan antara ketiga-tiganya penting dalam usaha melahirkan anak-anak yang berkeinginan ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, slot motivasi turut diadakan bagi memberi penekanan kepada ibu bapa berhubung kehadiran anak-anak ke sekolah selain memberi kesedaran kepada murid-murid untuk lebih bersemangat mencapai kejayaan.