Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun sanggup ‘menggadaikan’ masa depannya apabila tidak hadir ke sekolah sejak setahun lalu demi menjaga adiknya yang menghidap penyakit benjolan pada bahagian hadapan dan belakang kepala.

Muhamad Danial Ikhwan Mohd Samsu berbuat demikian kerana mahu meringankan beban ibunya, Rosida Riza Abdullah, 34, yang bekerja sebagai pembantu gerai menjual buah-buahan potong di zon bebas cukai Rantau Panjang.

Rosida Riza berkata, setiap hari beliau memujuk Muhamad Danial Ikhwan ke sekolah, namun anak kedua daripada empat beradik itu enggan berbuat demikian.

“Muhamad Danial Ikhwan kata, kalau dia tidak jaga adik (Muhamad Danial Hakim, 2) macam mana saya hendak keluar bekerja,” katanya kepada pemberita di Kampung Kusar, Gual Periok di sini semalam.

Rosida turut memberitahu, beliau pula tiada pilihan selain bekerja untuk menampung pendapatan suaminya yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

Terdahulu, Rosida Riza menerima kunjungan daripada pihak Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr  Zulkepli Mohammad yang turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM500 berserta barangan keperluan dapur kepada keluarga berkenaan.

Turut hadir Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, Azizan Aziz.

Sementara itu, Rosida berkata, anak bongsunya itu menghidap penyakit tersebut sejak kecil dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

“Sebelum ini, doktor pernah memberi cadangan supaya pembedahan dijalankan, namun saya masih belum membuat keputusan berkaitan perkara tersebut,” katanya yang turut mempunyai dua lagi anak iaitu Nur Atisha Balqis, 13, dan Muhammad Danial Hakimi berusia enam tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bernombor 03 0810 2036 5879 atas nama Rosida Riza Abdullah.  

Artikel menarik

Keluar rumah 3 pagi dan balik lewat senja, inilah rutin harian seorang pendidik SK Dabong

21 kaedah belajar yang betul dan berkesan untuk bantu pelajar cipta kejayaan - Versi Cikgu Iznan