Lima inovasi Sekolah Menengah Sains (SMS) Pasir Puteh, Kelantan melakar kejayaan tersendiri apabila masing-masing berjaya mendapat anugerah pada pertandingan Virtual Innovation Competition (VIC 2020), di UiTM, Machang, baru-baru ini.

Inovasi yang dipertandingkan itu adalah Pro Tajweed Kit; Auxilium Aroma Kit; Molly Cushion; Mansion of Question dan T-Smart Hex.

Inovasi Pro Tajweed Kit dan Auxilium Aroma Kit telah berjaya meraih anugerah emas, manakala Molly Cushion, mendapat anugerah perak, sementara Mansion of Question dan T-Smart Hex pula mendapat gangsa.

Lima kumpulan daripada 23 pelajar Tingkatan Dua hingga Lima telah bekerjasama  dalam penghasilan inovasi berkenaan.

Bimbingan hebat

Pasukan inovasi SMS Pasir Puteh mendapat bimbingan hebat daripada dua guru iaitu Dr Salbiah Mohamed Salleh dan Norasma Mohamed Salleh.

Kedua-duanya merupakan adik beradik yang cukup berpengalaman luas dalam bidang inovasi dan penyelidikan. Mereka juga banyak menghasilkan produk inovasi sendiri dan mendapat pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurut Cikgu Salbiah, inovasi Pro Tajweed Kit, T-Smart Hex dan Mansion of Question merupakan inovasi Bahan Bantu Mengajar bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

“Pro Tajweed Kit ialah kombinasi permainan fizikal dan digital yang boleh digunakan dalam kelas untuk pembelajaran tajwid. Didatangkan dalam bentuk permainan menggunakan bahan kitar semula iaitu kotak terbuang dan batang aiskrim.

“T-Smart Hex pula merupakan permainan bahasa yang diinspirasikan daripada permainan Mine’s Craft. Permainan membina kota ini turut menggabungkan unsur kesenian, seni bina dan geografi.

“Manakala Mansion of Question pula adalah pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kemahiran kreatif dalam kalangan pelajar. Ia juga adalah satu produk permainan fizikal berkonsepkan ‘monopoli’ dan ‘jutaria’ bagi menarik perhatian pelajar meningkatkan pembelajaran peribahasa,” katanya.

Cikgu Norasma pula berkata, Auxilium Aroma Kit dan Molly Cushion adalah produk integrasi STEM.

“Auxilium Aroma Kit ialah satu kit mengandungi lilin, balm dan squishy ball manakala Molly Cushion adalah bahan mengandungi soda bikarbonat dan diubahsuai kepada bentuk pad untuk dijadikan pelapik kaki bagi mengelakkan kasut berbau.

“Molly Cushion didatangkan dengan empat bau iaitu vanila, lavender, ros dan ceri. Produk ini merupakan inovasi pertama yang pernah dihasilkan dan dipercayai mempunyai banyak kebaikan untuk mengurangkan bau kepada kaki yang sentiasa memakai kasut tertutup,” ujarnya.

Cabaran utama

Memandangkan proses inovasi tersebut berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru pembimbing berhadapan masalah untuk memantau penghasilannya.

“Medium komunikasi maya dimanfaatkan sebaiknya oleh guru bagi memantau perkembangan pelajar. Kami hanya berhubung melalui telefon dengan mereka. Adakalanya saya sendiri terpaksa membuat rakaman untuk menunjukkan hasil terbaik.

“Terdapat sesetengah pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit serta capaian internet yang tidak stabil menyebabkan komunikasi agak terganggu.

“Cuma untungnya kami, produk inovasi telah disiapkan lebih awal bermula tahun lepas. Jadi dalam proses PKP, fokus kepada penghasilan video pertandingan serta pengumpulan evidens inovasi seperti penulisan kajian serta pendaftaran harta intelek,” kata Cikgu Salbiah.

Pasukan inovasi yang kini bernaung di bawah kelab elit sekolah iaitu Young Innovators Circle (SMSPP YIC) diharapkan dapat melebar sayap lebih jauh ke persada antarabangsa.

“Kami percaya setiap pelajar mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri. Keupayaan mereka wajar diraikan dan disalurkan sebaiknya. Inovasi merupakan satu medan mencabar daya fikir pelajar, memberi peluang mereka berkarya dan membuka minda untuk lebih yakin dan mempunyai jati diri yang tinggi,” ujar Cikgu Norasma.

Tip lain

Fizik bukan subjek susah. Ada cara untuk skor A dalam SPM 2021. Cikgu ini kongsi rahsia

Cikgu ini dedah 10 tip hafal sifir yang paling mudah