TUMPAT - Walaupun mendapat tempat kedua, namun ia kemenangan bermakna buat kumpulan nasyid Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Bustanus Saadah Kampung Morak, di sini.

Penganjuran Pertandingan Nasyid Al-Islamiah Pelajar Lelaki Zon 3 disertai tujuh sekolah di daerah ini dan SMU (A) Bustanus Saadah sebagai tuan rumah.

Pengetuanya, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood berkata, kumpulan nasyid sekolah ini tidak dapat mengekalkan johan yang disandang dua tahun berturut-turut.

"Kami kalah pada kumpulan nasyid dari Sekolah Maahad Muhammadi Tumpat.

"Kejuaraan dua tahun berturut-turut sekolah kami bertukar tangan tahun ini," katanya.

Kumpulan nasyid Soutul Saadah SMU (A) Bustanus Saadah dianggotai 10 orang.

Pada pertandingan tersebut, kumpulan ini membawa lagu Menyantuni Ummah Membawa Rahmah dalam versi bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Wan Fakhrulrazi berkata, kekalahan ini tidak akan mematahkan semangat kumpulan nasyid sekolah ini.

"Kami hanya membuat persediaan dalam masa sebulan, disebalik kekalahan itu kami mendapat pujian dari juri apabila lirik lagu menepati tema," katanya.

Perasmian majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jabatan Pembangunan Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Mohd Ropien Hassan.