KOTA BHARU - Menggunakan kemahiran motor halus yang memfokuskan penggunaan bahagian jari membantu pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini, untuk menghasilkan biskut raya.

Guru Cemerlang Pendidikan Khas SMK Panji K.A Razhiyah berkata kemahiran itu memberi peluang kepada 26 pelajar istimewa di sekolah tersebut untuk belajar membuat biskut raya sepanjang proses pembelajaran pada bulan Ramadan ini.

"Aktiviti menghasilkan biskut raya ini merupakan aktiviti yang julung kali diadakan bagi mendedahkan kemahiran baharu kepada pelajar pendidikan khas di sekolah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Panji di sini, hari ini.

Razhiyah berkata melalui kemahiran ini secara tidak langsung ia dapat mendidik pelajar agar fokus apabila melakukan sesuatu perkara sekali gus dapat melatih mereka untuk berdikari.

"Mereka akan melakukan tiga proses utama bagi menghasilkan biskut tersebut iaitu pembuatan, pembungkusan dan melabelkan balang biskut,” katanya.

Penerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Asia 2019 itu berkata pada peringkat permulaan pelajar akan diajar untuk membuat tiga jenis biskut sahaja iaitu tart nanas, biskut badam serta florentine menggunakan resipi yang diambil dalam talian.

Beliau, yang turut dibantu Guru Pendidikan Khas Suriyati Hamzah berkata pelajar pendidikan khas itu mampu menghasilkan kira-kira 30 balang biskut raya yang dijual dengan harga RM22 sebalang bagi memenuhi tempahan yang diterima.

"Duit hasil daripada jualan biskut raya ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan pelajar istimewa ini untuk melancong pada akhir tahun secara percuma,” katanya.

Razhiyah berkata selain kemahiran membuat biskut raya, pelajarnya juga sebelum ini diberi pendedahan untuk mengendalikan rawatan kecantikan seperti urutan tangan, rendaman kaki dan juga menghasilkan pelembap bibir dan minyak urut menggunakan minyak kelapa.

"Dengan kepelbagaian yang diterapkan dalam proses pembelajaran ini ia dapat memberi keseronokan kepada mereka untuk hadir ke sekolah dan dapat mengelakkan mereka daripada cepat bosan ketika berada di dalam kelas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Razhiyah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019]

[ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah beliau dinobat Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia.. niatnya murni, usahanya tanpa batas]

Sementara itu, Pengetua SMK Panji Sharifah Nor Arinawati Long Ibrahim berkata idea untuk menghasilkan biskut raya yang diilhamkan oleh guru pendidikan khas sekolahnya adalah satu tindakan yang bijak dan sangat kreatif.

"Mereka (guru) dapat mengetahui minat pelajar istimewa ini bersesuaian dengan ‘mood’ puasa dan hari raya yang bakal tiba yang membuatkan pelajar seronok datang ke sekolah sekali gus dapat menambah satu kemahiran baharu buat mereka.

"Saya sentiasa menyokong dan mengalu-alukan program atau kemahiran yang dapat mendatangkan impak yang baik kepada pelajar pendidikan khas ini,” katanya.

Seorang pelajar pendidikan khas, Noor Shahidatul Syazwani Muhammad, 18, berkata menerusi kemahiran ini beliau dapat meningkatkan keyakinan diri serta mengajar untuk menjadi lebih berdikari.

"Jika sebelum ini, saya tidak pandai dan tidak yakin untuk memegang peralatan dapur serta memasak, tetapi kini saya mula pandai berdikari dan sudah mampu untuk memasak hidangan yang mudah apabila berada di rumah,” katanya.- Bernama

Artikel lain:

Enam guru ini terima bantuan YGMB pada Festival Guru Malaysia 2019

Yayasan Guru akan beri wang saku kepada warga KPM yang ke Tanah Suci menerusi YGMB Travel

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET

Guru Bahasa Inggeris perlu duduki MUET untuk kenal pasti tahap penguasaan