GUA MUSANG - Anak orang asli dari Kampung Aring 5 di sini, mula mengikuti sesi pembelajaran selepas mereka dikesan tercicir persekolahan.

Salah seorangnya, Safiyyah Atan, 13, yang tidak pernah bersekolah dan langsung tidak mengenal huruf apatah lagi mengira mahupun membaca.

Difahamkan, pendaftaran kelahiran Safiyyah juga baru sahaja dibuat  pada tahun lalu.

Menerusi Projek Kelas Khas Murid Orang Asli Bateq (Prokhas) Kampung  Aring 5, Safiyyah bersama 22 anakanak penduduk Kampung Aring 5 dan Kuala Koh, mula menduduki kelas khas di kampung berkenaan.

Pegawai Penyelaras Sekolah Murid Orang Asli, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Azman Jaafar berkata, Prokhas Aring 5 adalah projek pertama di Malaysia.

Menurutnya, projek itu merupakan usaha Kementerian Pendidikan (KPM)  dalam menangani masalah keciciran pelajar orang asli dalam pelajaran.

“Program ini adalah intervensi segera JPN, KPM dan Jabatan Kemajuan  Orang Asli (Jakoa) terhadap laporan  akhbar pada awal Januari lalu mengenai masalah keciciran murid orang asli di dua penempatan ini.

“Menerusi Prokhas, kita menyediakan  seorang tenaga pengajar dari sekolah terdekat, Sekolah Kebangsaan  (SK) Aring untuk mengajar murid di kelas khas ini.

“Mereka berdaftar di SK Aring, cuma kelas sahaja di sini. Selain  itu mereka juga menikmati  manfaat yang sama seperti murid lain termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT),” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Prokhas, semalam.

Bagaimanapun Azman berkata, waktu persekolahan  mereka tiga hari sahaja iaitu Isnin, Selasa dan Rabu  bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Skop pembelajaran juga lebih fleksibel yang mana guru akan mengajar  mereka dari mengenal huruf dan turut menerapkan aspek kokurikulum bagi menarik minat  mereka.

“Kita menerima pendaftaran awal hanya 22 murid namun ada beberapa  ibu bapa yang hadir bagi membuat  pendaftaran baru untuk anak-anak mereka,” katanya.

‘Saya sedia galas tanggungjawab’

SEMENTARA itu, guru SK Aring, Mohamad Hisam Mohd Yusoff, 40, berkata, dia akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan  untuk mendidik anak-anak orang asli di Prokhas.

Katanya, dia akan berulang-alik setiap hari selama tiga hari seminggu dari SK Aring untuk  mengajar murid-murid terbabit.

“Saya tiada pengalaman mengajar murid  orang asli namun sebelum ini saya pernah bertugas di Borneo.

“Berdasarkan pemerhatian awal, saya lihat situasi ini lebih kurang sama dan cabarannya  mungkin lebih kepada perjalanan ke kawasan pedalaman.

“Insya-ALLAH, saya akan berusaha memastikan anak-anak orang asli di sini menerima pendidikan sewajarnya bagi merealisasikan hasrat kementerian dalam  membantu golongan ini,” katanya.

Lega anak tidak perlu tinggal di asrama

BAGI bapa murid, Syaimi Ab Hadi, 39, dia berat hati untuk melepaskan anaknya ke SK Aring atau SK Pasir  Linggi kerana usia anak masih kecil.

Katanya, anak sulung, Ridzuan  Syaimi, 7, masih kecil dan tidak mampu menguruskan diri sendiri sekiranya ditempatkan di asrama  sekolah.

“Bukan kaum orang asli sahaja,  kaum lain juga mungkin berdepan perasaan yang sama sekiranya anakanak  kecil mereka ditinggalkan di asrama.

“Rasa bimbang itu tetap ada kerana anak-anak tidak pandai  berdikari lagi. Bila ada kelas di dalam kampung dia teruja untuk belajar.

“Dia tak pernah sekolah dan saya yakin, anak-anak di sini akan  mengikuti sesi pembelajaran di sini  dengan baik dan selesa,” katanya.

Sementara itu, penghulu,  Raina Anjang berkata, Prokhas adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam  memberikan pendidikan terbaik buat anak-anak orang asli.

Beliau percaya projek itu akan berjaya kerana sudah lama mereka  memerlukan kemudahan pendidikan  seperti itu.

“Untuk ke SK Aring berulang-alik menghantar anak-anak, ia satu perkara yang mustahil kerana jarak  antara kampung kami ke sekolah agak jauh melebihi 50  kilometer.

“SK Pasir Linggi juga memakan jarak yang lebih jauh iaitu lebih 90 kilometer. Walaupun disediakan  asrama, ibu bapa bimbang kerana anak-anak masih kecil,”  katanya.