TUMPAT - WAU puyuh Jalur Gemilang gergasi dihasilkan seorang guru berjaya menarik perhatian pengunjung di Pantai Geting di sini, sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 Peringkat Daerah Tumpat semalam.

Wau puyuh bersaiz lima meter tinggi dan lapan meter lebar dihasilkan oleh Muhammad Nor Akraminuddin Mohd Razihan, 29, berasal dari Telaga Bata, Sering, Kota Bharu itu disiapkan dengan bantuan tiga saudaranya dalam tempoh seminggu dengan kos sebanyak RM200.

Guru Pendidikan Islam di SMK Taman Kosas, Ampang, Selangor itu berkata, wau tersebut dibawa menyertai Pertandingan Layangan Merdeka bagi kategori wau cantik, wau besar dan wau merdeka.

“Wau ini mempunyai berat hampir 100 kilogram jadi memerlukan kira-kira 15 orang untuk menerbangkannya iaitu 10 orang akan tarik tali manakala lima lagi akan melancarkannya ke udara.

“Proses ini memerlukan angin bertiup kuat barulah wau mampu terbang dan wau jenis ini (puyuh) amat digemari kerana mengeluarkan bunyi berlagu yang garang serta iramanya menarik perhatian,” katanya ketika ditemui pada Program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020 di sini semalam.

Beliau berkata, harga wau yang dijual kepada pelanggan bergantung kepada saiz dan corak bermula serendah RM150 sehingga RM500 sambil memberitahu sudah ada pihak yang berhasrat membeli wau gergasi Jalur Gemilang miliknya itu.

Dalam masa sama, beliau turut menghasilkan wau bercorak koronavirus (Covid-19) dengan menampal pelekat virus pandemik itu yang turut dipertandingkan bersama dua lagi wau lain jenis batik dan bendera pada pertandingan berkenaan.     

Wan Roslan (kiri) melihat wau Jalur Gemilang gergasi yang dihasilkan Muhammad Nor Akraminuddin (dua dari kiri) bersama tiga saudaranya dalam tempoh seminggu sebelum sambutan kemerdekaan di Pantai Geting, Tumpat.

Pelekat corak virus Covid-19 yang ditampal pada wau puyuh turut dibawa untuk dipamerkan serta dipertandingkan dalam Acara Layangan Merdeka pada Program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020 di Pantai Geting, Tumpat.

Wau Covid-19 yang dihasilkan sempena pandemik yang mengancam seluruh dunia ketika ini turut dipertandingkan pada Program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020 di Pantai Geting, Tumpat.

Tip menarik:

Teknik 'Drilling with Coaching' Cikgu Shaza, bantu murid mahir Matematik

Cikgu ini dedah 10 tip hafal sifir yang paling mudah