GUA MUSANG - Ibu bapa Orang Asli di Kampung Kuala Koh, di sini, meminta Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) membuka kelas khas untuk anak mereka seperti yang dilakukan di Kampung Aring 5, sebulan lalu.

Ini kerana terdapat lebih 50 kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun di kampung  itu tidak bersekolah berikutan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi terletak 100 kilometer dari kampung itu dan mereka tidak mampu untuk menghantar anak ke sekolah itu.

Malah, seorang penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koh, Yahya Ong, 35, berkata, anak mereka juga belum pandai mengurus diri sekiranya ditempatkan di asrama sekolah itu kerana  mereka masih memerlukan penjagaan ibu bapa.

Beliau berkata terdapat ibu bapa kaum itu yang menghantar anak mereka ke SK Pasir Linggi tetapi akibat tidak tahan dengan pelbagai masalah dihadapi, mereka membuat keputusan menghentikan anak mereka daripada meneruskan persekolahan.

"Kami rela anak kami buta huruf daripada berdepan masalah menghantar anak ke sekolah terletak lebih jauh dari rumah," katanya ketika ditemui di kampung itu di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Orang Asli,  Mamat Pokok, 28, berkata kelas khas wajar disediakan di kampung itu untuk mengatasi masalah pelajaran anak mereka.

"Kita tengok kerajaan sudah buka kelas khas untuk murid kaum itu di Kampung Aring 5 dan sepatutnya kelas serupa dibuka di Kampung Kuala Koh.

"Ibu bapa sedia menghantar anak sekiranya dibuka kelas khas seperti itu kerana terletak di kampung sama berhampiran rumah,” katanya.

Kelas khas untuk murid Orang Asli tahun satu hingga tahun tiga di Kampung Aring 5  dibuka pada 9 April lepas bagi memenuhi tuntutan ibu bapa kaum berkenaan di kampung terbabit. - Bernama

ARTIKEL LAIN:

'Mana ma dan abah?' - Murid SK Kuang ini tak tahu ibu ayah dan dua adik meninggal (8 foto)

'Apa yang saya reti masak saya masak untuk lima adik' - murid tahun enam terpaksa jadi ibu, ayah

Guru mohon doakan kesembuhan dua beradik murid SK Kuang