GUA MUSANG - Siapa sangka gurauan pada malam sebelum kejadian menjadi kenangan terakhir seorang ibu bersama anaknya.

Pagi kelmarin, ibu mangsa,  Ruzwaniza Yaakob, 39, lemah terkulai melihat mayat anaknya, Raja Maryam Dalisha Raja Ismail, 3, terlangkup di dalam bekas berisi air di bilik mandi rumahnya.

Ruzwaniza menetap di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini berkata,  anak kelimanya itu ditemui anak kedua, Auni Nabila, 12, di dalam bilik air pada jam 11.30 pagi kelmarin.

“Memang saya pelik sebab sejak dua tiga hari ini, Maryam suka bergurau.  Malah, pada malam sebelum kejadian, dia bergurau dengan saya sampai terlelap.

“Tapi saya tidak mengesyaki apa-apa, mungkin kerana dia gembira sebab bulan hadapan ulang tahun kelahirannya yang ketiga.

“Saya masih tidak dapat menahan sebak apabila mengingatkan Maryam kerana dia petah bercakap dan sempat makan sarapan pagi yang saya masak sebelum kejadian,” katanya.

Ditemui tidak bernyawa

Ibu enam anak ini berkata, ketika  kejadian, dia tidak menyedari anaknya itu berada di bilik air kerana sedang menyusukan bayi.

“Saya baharu sahaja melahirkan anak, Raja Qayyum Farish, dua bulan lalu. Selepas masak untuk mereka, saya masuk bilik menyusukan anak dan suami, Raja Ismail Raja Idris, 37, keluar bekerja.

“Saya hanya tahu apabila anak saya mencarinya di bilik air dan Maryam  ditemui sudah tidak bernyawa,” katanya memberitahu turut meminta jiran menghubungi suami dan membawa mangsa ke Hospital Gua Musang (HGM).

Pasangan ini memiliki enam anak berusia 14, 12, 8, 6, 3 tahun dan dua bulan.

Adik paling rapat

Anak kedua pasangan ini, Auni Nabila memberitahu, selepas makan, adiknya itu memberitahu mahu  membuang air kecil.

“Selepas makan, adik ke bilik air  tapi bila lama di dalam, saya bimbang lalu pergi mendapatkannya.

“Saya tengok kepala adik terlangkup dalam tong air dan kakinya ke atas. Saya segera mengangkat adik dan membawanya keluar.

“Saya sangat sedih kerana saya rapat dengan adik dan saya jaga dia bila cuti sekolah. Lagipun dia dah pandai bercakap,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, di sini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam  Kampung Sungai Asap, pada jam 10 pagi semalam selepas selesai urusan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, hasil pemeriksaan fizikal tidak menjumpai sebarang kecederaan pada tubuh mangsa dan hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian akibat lemas.

“Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri  dan disahkan meninggal dunia oleh  pihak hospital,” katanya.

 

ARTIKEL MENARIK:

‘Saya nak baca al-Quran semula’ - murid SK Sik hilang penglihatan, hidap kanser otak

MPN agih 40 kek ke seluruh sekolah di Gua Musang sempena sambutan hari guru (4 foto)

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

'Cikgu tak tahu, kami nak hargai jasa guru' - Tindakan ibu bapa ini buat guru terkejut (11 foto)