TUMPAT - Aktiviti menangkap ikan darat di kolam ikan terbiar Kampung Berangan Pondok di sini meriah dengan penyertaan 100 penduduk dari pelbagai peringkat  usia.

Masing-masing tidak kisah bermandi selut, meraba ikan dengan tangan  dan lebih kelakar apabila kanakkanak hanya nampak dua biji mata setelah seluruh badan  diselaputi selut.

Aktiviti ketika musim kemarau itu bukan sahaja mengeratkan hubungan  penduduk, malah mengimbau kembali nostalgia lama.

Penduduk, Mohd Razman Mohd Nor, 44, berkata, aktiviti berkubang  dalam selut itu sudah sinonim dengan  penduduk di kampung berkenaan.

Namun katanya, kali ini sangat meriah  kerana melibatkan penyertaan yang lebih ramai. 

"Penduduk berebut igat (tangkap) ikan darat dengan tangan. Antara ikan yang berjaya ditangkap adalah keli, haruan, puyu dan sepat. Seronok tengok aksi masing- masing.

"Bermula jam 8 pagi lagi mereka dah beraksi dan berjaya tangkap kira-kira 200 kilogram ikan darat.  Hasil tangkapan itu dimasak untuk  dijamu kepada pencari ikan ini dan selebihnya dijual," katanya.

 

Bagi peserta kanak-kanak, Mohd Afiq Danial Mohd Nasir, 12, dia sudah  biasa bermandi selut. 

"Saya selalu masuk sawah cari ikan, cuma hari ini meriah sebab ramai kawan.

"Banyak juga saya dapat tangkap ikan, seronok sangat cuti hujung minggu  ini," katanya.

Sementara itu, pemilik kolam ikan, Kanak-kanak berkubang dalam selut untuk menangkap ikan. 

Mohd Fakrudin Mat Ail, 32, berkata, kolam terbiar itu adalah peninggalan datuknya. 

Menurutnya, sudah empat tahun ia terbiar, tetapi terdapat banyak ikan darat di dalamnya.

"Setiap kali banjir kawasan ini ditenggelami air, jadi banyak ikan dari  sawah masuk ke dalam kolam ini.

"Apabila banjir surut ikan ini terperangkap dalam kolam," katanya.

Tambahnya, sudah empat tahun kolam tersebut tidak dibersihkan, maka ketika musim kemarau sebegini mereka mengambil peluang menangkap ikan kerana airnya surut.