TUMPAT - “Saya sempat ajar anak mengucap ketika dia nazak, dia sebut ALLAH... ALLAH,” kata Hamid Sulong, 63.

Hamid sempat bersama Siti Nor Hanim Alya Hamid, 17, buat kali ter­akhir sebelum anaknya itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya.

Siti Nor Hanim Alya yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke sekolah maut dirempuh kereta dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat Kampung Pasir Puteh, di sini, semalam.

Kemalangan berlaku pada jam 7.24 pagi itu turut meragut nyawa rakan sekelasnya, Noor Asmida Ellyana Abdullah, 17 yang menunggang motosikal lain bersama adiknya, Puteri Balqis Abdullah, 13.

Siti Nor Hanim Alya maut di tempat kejadian kira-kira 200 meter dari sekolah dan rakannya, Noor Asmida Ellyana disahkan meninggal dunia di Hospital Tumpat.

Bagaimanapun, Puteri Balqis yang mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketiga-tiga mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat.

Hamid berkata, dia terus bergegas dari rumah di Kampung Nechang ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan anaknya terbabit kemalangan oleh saudaranya.

“ALLAH sahaja tahu perasaan saya melihat anak terbaring di dalam parit, saya terus pangku dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Menurutnya, biasanya dia yang menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi, namun hari kejadian anaknya meminta izin mahu menunggang motosikal sendiri ke sekolah.

“Hari ini dia nak bawa sendiri motor kerana mahu singgah di rumah kawan ambil tudung waktu pulang sekolah.

“Saya sempat berpesan padanya supaya bawa motor elok-elok sewaktu dia salam dan cium tangan saya ketika turun dari rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketiga-tiga mangsa menaiki dua motosikal  dari arah Pengkalan Kubur ke SMK Chabang Empat.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian, kereta jenis Honda Accord dari arah Chabang Empat hilang kawalan masuk ke laluan jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal ditunggang mangsa,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit menghilangkan diri dan meninggalkan kereta sejauh 150 meter dari lokasi kejadian.

“Polis sedang mengesan pemandu terbabit,” katanya.

Artikel lain:

'Rumah mama dekat kubur, senang nak ziarah'- 2 beradik yatim piatu pilih tinggal dengan ibu saudara

Pelajar SMK Kompleks KLIA juara dunia pertandingan robotik antarabangsa di Turki

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak