KOTA BHARU - Kisah kematian seorang pelajar tingkatan lima dari Bachok yang maut 4 Ramadan lalu dalam perjalanan memberi makan kepada kucing terbiar menyentuh hati ramai netizen.

Perkongsian menerusi Facebook oleh Nasrul Mohamed juga bapa sepupu kepada mangsa, Ahmad Razin Sapri, 17, mendapat pelbagai reaksi.

Nasrul

Pemergian Ahmad Razin juga pelajar Maahad Yaakubiah Nipah di Bachok itu seolah-olah sudah dapat dirasainya apabila anak kelima daripada lapan beradik itu sering bermimpi mengenai kemalangan yang mengakibatkan dia meninggal dunia setelah merempuh tiang elektrik, dan menyedihkan apabila insiden sebenar meragut nyawa Ahmad Razin itu berlaku hampir sama dengan mimpinya.

“Sebelum kejadian, ayah dan ibu mangsa beritahu arwah menceritakan mimpi kepada mereka dan dia berulang kali meminta maaf tetapi tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan terjadi.

“Sebelum keluar rumah arwah juga sempat menghantar WhatsApp meminta maaf kepada rakan-rakan terdekatnya dan ini seolah-olah dia tahu kisah terakhir hidupnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Razin dari Kampung Nakhoda Saamah itu cedera parah selepas motosikal ditunggangnya sendirian Rabu terbabas di Pantai Irama, Bachok ketika dalam perjalanan memberikan makanan kepada kucing di sekitar pantai tersebut.

Bakal calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia jam 3 pagi akibat kecederaan parah di kepala.

Foto FB Nazri Ismail Al-Goloki

Foto FB Nazri Ismail Al-Goloki

Nasrul juga seorang peguam berkata, arwah sangat sayangkan kucing sejak dari kecil terutama kucing terbiar dan minatnya itu turut disokong ayahnya, Sapri Jusoh.

“Biasanya setiap hari ayahnya temankan tetapi hari itu dia minta izin keluar seorang diri untuk bagi kucing makan di Pantai Irama,” katanya.

Tambah terkesan dengan pemergian insan mulia itu apabila seorang pelayar Facebook, Naimah Mohamed juga guru kelasnya turut berkongsi nukilan Ahmad Razin yang ditulis di dalam kelas sehari sebelum kematiannya.

Catatan tersebut ialah ‘Kematian semakin menghampiri, adakah amal kita sudah cukup untuk bertemu denganNYA, Tuhan Yang Maha Agong... Bismillah apabila sudah tiba saatnya, dunia hanyalah cerita, akhirat tempat nyata, dunia tempat meninggal, akhirat tempat tinggal, dunia tempat beramal, kubur tempat disoal’.

Artikel lain:

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Enam guru ini terima bantuan YGMB pada Festival Guru Malaysia 2019

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET