PASIR MAS - Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Ulum Padang Embun muncul juara Silat Cekak Hanafi peringkat kebangsaan yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Pengetua, Kamaruddin Ibrahim berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha pesilat yang sentiasa bekerja keras bagi memastikan ke­menangan milik mereka.

"Kejuaraan ini juga menjadi motivasi kepada pesilat untuk bekerja lebih keras dalam mengharumkan nama sekolah.

"Bukan mudah untuk mereka bersaing dan duduk setanding dengan peserta lain. Tetapi dengan semangat yang ada mereka buktikan SMU Al-Ulum Padang Embun boleh melakukannya," katanya.

Seramai 40 pesilat dari sekolah berkenaan menyertai kejohanan tersebut anjuran Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia.

Kamaruddin berkata, beliau berharap pada masa hadapan lebih ramai lagi pelajar akan menyertai seni silat tersebut.

Katanya, ia bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan kokurikulum tetapi penting sebagai seni mempertahankan diri.

"Setakat ini sambutan yang diberikan pelajar sangat memberangsangkan.

"Saya berharap lebih banyak lagi kejayaan dapat dilakar oleh mereka selepas ini sekali gus  meletakkan sekolah ini sebaris dengan sekolah-sekolah hebat yang lain," katanya.