TANAH MERAH - Usianya baru 19 tahun, namun dia sudah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kematian kedua orang tuanya.

Zahir Zamzuri dari Kampung Joho, Bukit Panau tidak pernah merungut dengan ujian hidup dilalui, malah reda dengan ketentuan Ilahi demi tiga adiknya berusia 12, 14 dan 16 tahun.

Bapa mereka meninggal akibat serangan jantung manakala ibu yang pada mulanya hanya demam biasa kemudiannya terjatuh di dalam bilik air dan meninggal ­dunia.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas menamatkan pengajian di sebuah sekolah agama, dia mengambil keputusan menjaga salah seorang adiknya berumur 16 tahun.

Sementara dua lagi adiknya masing-masing dijaga ibu saudara di Kampung Manal di daerah ini dan seorang lagi di Terengganu.

Menurutnya, setakat ini dia meneruskan kehidupan dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ibunya sebelum ini.

“Saudara-mara juga ada yang bantu dan dengan wang inilah kami buat belanja untuk keperluan dapur.

“Alhamdulillah ramai juga yang bantu. Terima kasihlah kepada pihak yang banyak tolong ketika kami empat beradik dalam kesusahan,” katanya.

Tambahnya, hanya ALLAH SWT yang dapat membalas jasa semua pihak yang membantu dia dan adik-beradiknya.

“Walaupun kami hidup susah tapi kami masih ada saudara-mara dan mereka amat prihatin, kami amat terharu atas bantuan selama ini,” katanya.

Zahir berkata, biarpun dia mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian, namun dia sanggup melupakan hasratnya itu demi adik-adiknya.

“Merekalah harta saya dunia akhirat dan mereka juga penguat saya untuk terus menjaga dan membesarkan mereka tanpa kedua orang tua kami di sisi.

“Harapan saya semoga adik-adik saya berjaya dalam pelajaran dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dapat bekerja demi masa depan mereka yang lebih baik,” katanya.