Sejumlah 220 pelajar Malaysia bakal berlepas ke Jepun tidak lama lagi, untuk melanjutkan pelajaran masing-masing di bawah program Dasar Pandang Ke Timur yang kini mencecah usia 40 tahun.

Pelajar terbabit telah menyempurnakan kursus komprehensif selama 20 bulan di sini, termasuk penguasaan Bahasa Jepun dan lulus peperiksaan yang diperlukan bagi kemasukan ke universiti di negara itu.

Seratus empat puluh pelajar akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan manakala 40 dalam bidang sains sosial dan baki 40 lagi di kolej teknikal.

Daripada jumlah itu, 172 pelajar ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), 39 oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan sembilan oleh Petronas.

Bercakap pada majlis graduasi mereka baru-baru ini yang buat julung kalinya berlangsung secara dalam talian susulan pandemik COVID-19, Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berkata pendidikan serta pembangunan keupayaan manusia telah menjadi tonggak utama Dasar Pandang Ke Timur dan JPA sentiasa menjadi daya penggerak yang utuh dalam memajukan dasar itu.

Dasar itu diperkenal pada 1982 bagi membolehkan rakyat Malaysia belajar daripada kemajuan teknologi Jepun selain etika dan disiplin kerja mereka.

"Dasar Pandang Ke Timur telah dan akan terus menjadi simbol kerjasama antara Jepun dan Malaysia. Belajar di Jepun seharusnya menjadi satu aset yang unik dan bernilai bagi pembangunan kerjaya masa depan anda," kata Oka kepada pelajar terbabit.

Beliau berkata lebih 8,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada program pengajian seperti itu di Jepun sambil "melakukan sumbangan yang luar biasa" di barisan hadapan dalam kebanyakan bidang di Malaysia, termasuk mengembangkan perniagaan terkenal untuk menjana kekayaan dan memperkaya kehidupan rakyat Malaysia.

Bercakap pada majlis sama, Pengarah Pembangunan Modal Insan JPA Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata, penajaan berterusan pelajar oleh jabatan itu di universiti Jepun bertujuan memastikan Malaysia memiliki sumber manusia yang berkualiti setaraf negara maju.

Beliau juga memaklumkan pelajar terbabit bahawa: "Pilihan anda untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun adalah satu pelaburan besar dalam membangunkan sumber manusia yang terlatih dan serba boleh.

Kesemua peluang ini hendaklah dimanfaatkan secara optimum untuk menimba ilmu dan pengalaman unik yang boleh diterapkan bagi membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi selepas anda pulang ke tanah air," katanya.

Zulkapli turut menasihati mereka agar belajar daripada budaya Jepun yang menghormati peraturan, berintegriti tinggi dan menjaga kebersihan dalam kehidupan harian sebagai hadiah dari Jepun selain membawa pulang segulung ijazah.

Muhammad Suhail Uzair, yang muncul sebagai pelajar terbaik dalam kursus persediaan itu, berkata motivasi terbesar beliau dalam melanjutkan pelajaran ke negara tersebut ialah untuk belajar dengan lebih lanjut mengenai budaya, sikap positif dan gaya hidup rakyat Jepun.

"Sebagai contoh, kebersihan, ketepatan masa dan rasa hormat mereka kepada orang lain. Saya ingin belajar sebanyak mungkin mengenai sifat-sifat ini demi kesejahteraan diri sendiri," katanya.

Seorang lagi pelajar, Hajar Umairah Zanuri berkata mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun adalah umpama mimpi menjadi nyata buat dirinya.

"Jepun amat maju dalam bidang teknologi dan saya berharap dapat menerapkan ilmu yang diperoleh untuk menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan Malaysia," katanya.

Sumber - BERNAMA