KUALA LUMPUR - Memperkasa pendidikan negara secara digital adalah antara yang diharap akan diberi tumpuan utama pada Belanjawan 2021 pada Jumaat, demi kelestarian dan kelangsungan sistem pendidikan terutamanya dalam berhadapan dengan cabaran Covid-19, demikian menurut persatuan-persatuan berkaitan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata harapan itu berasaskan pengalaman negara berhadapan dengan pandemik, memandangkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berlangsung melepasi sempadan kelas atau bilik kuliah, dan ini membuktikan kaedah secara maya itu adalah amat penting dan sangat perlu.

Beliau berkata sehubungan itu NUTP berharap agar kerajaan dapat menyediakan peruntukan besar disediakan khusus bagi memperkasa pendidikan secara digital.

"Antaranya seperti penyediaan gajet khas untuk pembelajaran secara maya kepada murid miskin, rebat RM1,000 kepada guru bagi pembelian gajet atau komputer riba khusus untuk pengajaran secara maya, selain peruntukan untuk peningkatan kemahiran guru bagi pengajaran secara maya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya pada masa sama, sekolah-sekolah juga memerlukan peruntukan untuk menaik taraf dan menyelenggara makmal komputer yang sekarang terabai akibat tiada peruntukan penyelenggaraan.

Beliau turut menyarankan peruntukan khas RM5,000 setahun kepada sekolah-sekolah bagi urusan pembaikan kecil di sekolah yang diuruskan sendiri oleh sekolah, insentif khas kepada guru yang memiliki ijazah sarjana dan Ph.D, serta mewujudkan gred DG56 kepada guru-guru yang telah berada lima tahun di gred DG54.

Sementara itu Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang berkongsi pendapat sama berkata, peruntukan besar atau sewajarnya perlu disediakan untuk prasarana dan infrastruktur khususnya yang berkaitan liputan dan kelajuan internet terutamanya di luar bandar dan pedalaman, agar taraf pendidikan atas talian dapat ditingkatkan secara menyeluruh.

"Selain itu, diharapkan akan ada skim bantuan membeli alatan-alatan dan aksesori keperluan PdP atas talian, insentif untuk guru pakar dan pembantu guru yang fokus kepada PdP talian, mewujudkan pusat-pusat internet untuk membantu PdP atas talian, selain bahan rujukan untuk tujuan itu yang sistematik dan bantu kendiri PdP secara maya itu dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga berharap agar agihan peruntukan pada belanjawan kali ini adalah seperti tahun-tahun sudah yang memberi keutamaan kepada sektor pendidikan, namun peruntukan perlulah disalurkan kepada tujuan yang sepatutnya, contohnya untuk bantuan persekolahan, buku dan makanan tambahan diberikan kepada yang perlu sahaja seperti pelajar miskin, B40 atau M40, dan bukannya kepada semua.

"Bagi menghadapi situasi dan keadaan krisis seperti Covid-19 ini, kita berharap adanya peruntukan khas pembiayaan menangani Covid-19 seperti peralatan pakej asas Prosedur Operasi Standard (SOP) di setiap sekolah dan pencucian atau sanitasi bangunan berkala, serta peruntukan khusus untuk ‘mandatory medical check up’, termasuklah pergigian dan suntikan vaksin Covid-19 kepada guru dan pelajar.

"Selain itu jangan lupakan keperluan baik pulih dan penyelenggaraan prasarana seperti bangunan dan makmal yang usang dan melebihi tempoh 20 tahun, peruntukan lebih banyak asrama-asrama di pinggir, luar bandar dan pendalaman.

"Juga insentif khas bagi guru-guru kelas-kelas pendidikan istimewa, STEM dan Bahasa Inggeris, serta peruntukan bagi insentif guru-guru bersabatikal di industri-industri pilihan, seperti cuti sabatikal tenaga pengajar Institut Pengajian Tinggi,” katanya.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock pula berkata semasa Malaysia berusaha mengekalkan kekalkan momentum kemajuannya, negara mesti sentiasa selangkah ke depan berbanding dengan negara-negara lain, termasuk dalam sektor pendidikan.

"Oleh itu, pelaburan yang jitu dalam pendidikan sudah tentunya akan membuahkan hasil yang lumayan walaupun dalam norma baharu,” katanya - BERNAMA

Artikel lain

Anxiety Disorder kini membimbangkan. Dr Zubaidi kongsi apa yang perlu pelajar lakukan...

Guna duit sendiri beli bahan melukis untuk pelajar. Inilah kasih seorang guru…