Kementerian Sumber Manusia menjangkakan platform e-LATiH dapat dimanfaatkan oleh kira-kira dua juta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata, dalam tempoh 24 jam sejak dilancarkan semalam, seramai 5,240 rakyat Malaysia telah mendaftar dan mula memanfaatkan kursus melalui platform itu.

"Saya berasa gembira kerana rakyat Malaysia telah merebut peluang ini dan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik, dan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri serta bersedia menerapkan teknologi dalam norma pembelajaran baharu.

"Jumlah pengguna yang menggunakan platform e-LATiH ini dijangka mencecah satu juta pada akhir Jun 2021 dan dijangka bertambah kepada dua juta pengguna menjelang akhir 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) melancarkan hab e-pembelajaran baharu e-LATiH yang menyediakan akses kepada pelbagai kandungan berasaskan pendidikan dan pembangunan kemahiran, dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh penularan COVID-19 menghadapi masa depan.

e-LATiH yang merupakan usaha sama di antara HRDF dan Go 1, antara pengagregat e-pembelajaran antarabangsa terbesar, tersedia untuk semua rakyat Malaysia bermula semalam hingga 5 Februari 2022.

Sementara itu, Saravanan berkata beliau telah mengarahkan HRDF untuk memperbanyakkan kandungan bagi dimuat naik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam Bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini.

"Ini bagi memastikan lebih daripada 1,000 kursus tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma,” katanya.

Tambah beliau, e-LATiH membolehkan HRDF memantau penggunaan serta mengetahui bidang kursus yang diminati rakyat Malaysia, sekali gus merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, HRDF akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman web pekerjaan dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan oleh HRDF, katanya.- BERNAMA