KUALA LUMPUR - Elemen antirasuah melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi murid Tahun Lima akan diperkenalkan di sekolah bermula tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, ia adalah usaha untuk mendidik akan pencegahan rasuah di peringkat awal persekolahan bagi membanteras gejala berkenaan.

“Pihak saya sedang memberikan tumpuan kepada pendidikan berkesan akan pencegahan rasuah di peringkat persekolahan dan universiti.

“Sebelum ini, subjek pendidikan sivik dan moral bagi sekolah rendah dan menengah telah diperkenalkan termasuklah pendidikan sivik untuk prasekolah yang berkaitan dengan nilai-nilai murni,” katanya dalam temu bual bersama radio Melakafm.

Selain itu, katanya, tiga buah pusat pengajian tinggi iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bersetuju untuk mengadakan subjek elektif integriti dan rasuah selaras dengan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NCAP).

BERNAMA

Artikel lain:

Kerana kemiskinan, pelajar pakai perca kain putih jahitan ibu ke sekolah. Cikgu Maisarah sebak

Hasil karya murid Tahun Satu dapat perhatian warganet. Ramai terkejut dan tak percaya!