PIHAK pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara kandungan Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran yang telah dipersetujui semasa dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Guru juga perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala.

“Mereka juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan semasa proses pentaksiran dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi pengendalian peperiksaan awam pula, Ismail Sabri berkata, perkara itu perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan untuk peperiksaan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.

Menurutnya, jika terdapat calon yang bergejala serius, pihak sekolah perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan selanjutnya dan memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.

“Ketua Pengawas Peperiksaan perlu memastikan semua urusan pengendalian peperiksaan awam di pusat peperiksaan dan di luar pusat peperiksaan mengambil kira penjarakkan sosial, kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Berhubung kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata, polis telah menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 36 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP.  

Menurutnya, sebanyak 2,630 pasukan pematuhan melibatkan seramai 12,396 anggota telah membuat pemantauan di 3,949 pasar raya, restoran (5,673), penjaja (1,977), kilang  (1,159), bank (3,718) dan 901 pejabat kerajaan.

“Polis turut menjalankan pemantauan terhadap pematuhan SOP solat Jumaat ke atas 2,507 buah masjid yang melibatkan seramai 287,296 jemaah dan didapati bilangan jemaah mengikut kapasiti masjid serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata beliau.

BERNAMA