KUALA LUMPUR - Penutupan semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dilanjutkan sehingga 9 November ini.

KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga kawasan itu dari 27 Oktober hingga 9 November ini.

Menurut kenyataan itu, penutupan institusi pendidikan berkenaan termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sehubungan itu, pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, manakala manual pengajaran dan pembelajaran boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my.

PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula 14 Oktober lalu sepatutnya tamat esok - BERNAMA