Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Bandar Tun Razak, di sini memanfaatkan aplikasi dalam talian untuk menyambut Hari Guru 2020, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat COVID-19.

Pengarah IPGKIK, Wan Yusof Wan Ngah, berkata walaupun pensyarah dan siswa guru berada di pelbagai lokasi, namun mereka berjaya disatukan menerusi pengisian aktiviti secara interaktif.

“Ternyata sambutan Hari Guru IPGKIK tahun ini memberikan warna baharu dalam pengisian acara, namun semangat warga kampus tetap membara menjayakan acara berkenaan, walaupun dalam konteks `sambutan normal baharu’ kesan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan e-Sambutan Hari Guru Peringkat IPGKIK 2020 yang berlangsung secara dalam talian, baru-baru ini.

Sempena Hari Guru 2020, IPGKIK turut merakamkan penghargaan kepada warganya atas sumbangan, jasa, bakti dan pengorbanan sehingga mencapai pelbagai pengiktirafan dan kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pensyarah terbabit antaranya Norani Abd Rahim, Dr Assunta Carolina  dan Dr Chin Mei Keong yang diiktiraf sebagai Pensyarah Cemerlang oleh Kementerian Pendidikan yang menjadi  aset yang mampu merekayasa pengajaran dan pembelajaran dengan idea dan inisiatif baharu untuk kecemerlangan pendidikan khususnya di kampus berkenaan.

Penghargaan turut dirakamkan kepada pasukan E-PETAH kerana berjaya menggondol Anugerah Platinum dalam International Summit on Inovation & Design Expostion di Universiti Malaya (UM).

Wan Yusof berkata, penghargaan turut diberikan kepada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh PKP.

“Mereka sangat kreatif dan yang penting siswa guru dapat mengaplikasi apa yang dipelajari secara teori kepada pembelajaran yang lebih bermakna.

“Selain kuliah secara dalam talian mereka juga menganjurkan pelbagai program secara interaktif seperti pertandingan video kreatif, pertandingan tulisan khat kategori bukan Islam, Hari Quran, dan Kuiz Ramadan,” katanya.