KUALA LUMPUR - Sebuah kelas di sekolah hanya akan menempatkan 16 hingga 17 pelajar sekiranya sesi persekolahan dibuka semula selepas penutupannya berikutan penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya sudah membuat percubaan di lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang sepatutnya berada di dalam sesebuah kelas supaya penjarakkan sosial dapat dilaksanakan.

Katanya, ia sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca Covid-19 yang akan diperincikan pihaknya nanti.

“Ini bermakna jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Selain itu, kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.

“Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas Covid-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka,” kata Mohd Radzi dalam wawancara khas pada program Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 malam kelmarin.

Dalam pada itu, beliau berkata, SOP di kantin sekolah akan diperketatkan kerana ia merupakan kawasan tumpuan pelajar membeli dan menikmati makanan pada waktu rehat.

Kementerian akan memastikan SOP itu dapat dipatuhi sepenuhnya melalui pembukaan sesi pembelajaran kepada pelajar kelas peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada tahap lain.

Artikel berkaitan:

'Dalam perjalanan hidup ini kita sentiasa singgah di perguruan' - Dr Mohd Radzi

'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' - Tiada kejayaan tanpa kehadiran guru

Pihak sekolah terpaksa hantar buku teks kepada pelajar pedalaman

JPN Sabah kuatkuasa PBP atas masalah pelajar tiada telefon pintar dan akses internet

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka