Kuala Lumpur - Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera menaik taraf kepantasan capaian talian internet terutama di kawasan luar bandar bagi membolehkan semua pelajar dapat pembelajaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iguru), Mohd Azizee Hasan, kebanyakan guru menggunakan Google Classroom untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sepanjang PKP ini dan masalah utama Google Classroom adalah ia bergantung kepada kekuatan pelayan internet.

"KPM perlu meneliti perkara ini, kita merasa kasihan dengan pelajar luar bandar khususnya kerana capaian internet di sana agak rendah. Apa yang penting adalah peningkatan kualiti pelayan internet itu sendiri," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat melaksanakan sebuah skim khas berbentuk wakaf alat peranti pintar kepada pelajar yang memerlukan, terutama pelajar miskin dan pelajar luar bandar.

"Kita sering dapat aduan, ada keluarga yang tidak mampu menyediakan telefon pintar, komputer ataupun internet untuk digunakan anak-anak mereka.

"Oleh itu, KPM mungkin boleh bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan skim wakaf dalam usaha merapatkan jurang penggunaan digital antara pelajar yang mampu dan tidak mampu," jelasnya.

Antara hikmah PKP adalah golongan guru yang sedikit sebanyak dapat melihat betapa perlunya memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh sementara waktu ini.

Yang Dipertua iguru Pulau Pinang, Mohamad Syafiq Mohamad Sulaiman, berkata, banyak kelebihan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara maya ini, dengan platform yang dominan adalah Google Classroom dan Microsoft Teams.

"Kedua-duanya menjadi platform pemudahcara yang sangat baik buat guru dan murid untuk terus mengadakan PdP terutama ketika tempoh PKP ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai status Malaysia yang direkod sebagai tertinggi di dunia bagi carian frasa ‘Google Classroom’ seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, baru-baru ini.

Google Classroom merupakan perisian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan oleh Google yang menjadi platform digunakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam pembelajaran digital ketika tempoh PKP.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Matematik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Maisurah Amir pula berkata, perisian Google Classroom sangat mesra pengguna dan mudah dikendalikan selain banyak membantu memudahkan tugasnya sebagai guru.

"Sebagai contoh, Google Classroom dapat merekodkan kehadiran dan markah tugasan atau kuiz yang dijalankan kepada pelajar secara digital.

"Guru juga tidak perlu menyemak sama ada pelajar sudah menghantar tugasan atau tidak kerana sistem Google Classroom akan memantaunya dengan menghantar status kepada guru," katanya.

Kata beliau lagi, rata-rata pelajarnya berpuas hati dengan perisian itu kerana sistem tersebut akan memberikan notifikasi segera kepada mereka sekiranya terdapat tugasan baharu yang dimuat naik oleh guru, oleh itu tiada alasan untuk mereka tertinggal daripada melaksanakan tugasan yang diberi.

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital