KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menganjurkan sukan berhalangan Kids Warrior Challenge 2020 (KWC2020) buat pelajar sekolah berusia tujuh hingga 15 tahun.

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Zainal Abas berkata, penganjuran sukan bertaraf nasional itu akan diadakan menerusi siri jelajah bermula di Perlis pada 27 Februari ini.

Menurutnya, KWC2020 merupakan pendedahan awal sukan ekstrem kepada pelajar bagi menguji kekuatan fizikal dan mental ke arah gaya hidup sihat dengan bersukan.

“Sukan berhalangan ini menggunakan belon angin atau ‘inflatable’ yang ditempah khas dan penuh dengan ciri keselamatan yang lebarnya 21.5 meter sementara panjangnya 45.5 meter.

“Seramai 1,000 penyertaan disasarkan bagi siri jelajah di Perlis dan sasaran 35,000 peserta dalam kalangan tujuh juta pelajar sekolah seluruh Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada gimik pelancaran KWC 2020 yang berlangsung di pusat beli-balah MyTown Jalan Cochrane di sini.

Turut hadir, Pengarah SH Timeline Creative, Siti Ruhaizah Kastop dan Pengarah Acara KWC jelajah Malaysia, Jailani Johari.

Katanya, pemenang akan mewakili setiap negeri bertanding di peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Putrajaya sempena sambutan Hari Sukan Negara.

“KPM berharap sambutan julung kali diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan yang akan dipertimbangkan sebagai acara tahunan.

“Pendaftaran peserta boleh dibuat menerusi aplikasi KWC Malaysia atau melalui sekolah secara berkumpulan,” katanya.

Katanya, acara ini boleh digunakan dalam markah kokurikulum dan peserta turut diberikan baju, medal dan sijil penyertaan.

Zainal (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran KWC2020 di MyTown .

Belon angin yang digunakan untuk acara KWC2020 yang bakal memulakan siri jelajah bermula di Perlis pada 27 Februari ini.

Halangan yang perlu dilepasi dalam KWC2020.

Artikel Menarik:

Keputusan SPM 2019 diumum 25 Februari ini

Guru ini kongsi bagaimana tercetus ilham untuk pelajar cipta inovasi hingga menang peringkat dunia

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi