KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada guru terkandas di kampung untuk terus berkhidmat di kawasan tersebut sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Agung, Harry Tan Huat Hock berkata, ini sebab tiada keperluan mendesak untuk guru berada di stesen bertugas iaitu kediaman terdekat dengan sekolah memandangkan klien utama iaitu murid masih lagi dicutikan.

"Proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dari rumah masih berjalan dengan baik sekalipun guru berada di luar stesen.

"Pelaksanaan PdPC juga dipantau dengan baik oleh pihak pejabat pendidikan daerah (PPD) setiap hari dan mempunyai data yang jelas iaitu jumlah log masuk guru serta pelajar melalui medium pembelajaran KPM iaitu Google Classroom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bernama pada Ahad melaporkan terdapat arahan daripada pengetua dan guru besar (PGB) supaya guru kembali ke stesen bertugas masing-masing iaitu di kediaman terdekat dengan sekolah kerana semua pejabat kerajaan telah dibuka  bermula pada 4 Mei termasuk premis sekolah.

Huat Hock turut mendakwa tiada arahan jelas mengenai tugas yang perlu dilaksanakan ketika berada di stesen bertugas selain daripada tanggungjawab hakiki iaitu menjalankan PdPC secara maya.

"Oleh itu, NUTP merayu agar Yang Berhormat Menteri Pendidikan dapat memberi kelonggaran kepada guru yang ingin terus berada di luar stesen berkhidmat sepanjang PKPB tanpa dikenakan sebarang tindakan tatatertib,” katanya.

Selain itu, Huat Hock juga berharap Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin dapat memastikan setiap maklumat atau arahan yang dikeluarkan kementerian tidak disalahtafsirkan tujuannya oleh ketua jabatan di setiap peringkat.

"Arahan yang terlalu rencam dan berbeza daripada setiap bahagian menyebabkan guru sukar untuk memastikan bahawa arahan tersebut adalah arahan terus daripada kementerian atau sebaliknya.

"Ini sebab kebanyakan arahan oleh ketua jabatan hanya melalui capaian aplikasi Telegram atau WhatsApp tanpa ada dokumentasi bertulis seperti yang diamalkan oleh agensi lain,” katanya.

Arikel berkaitan

'Jumlah pelajar dalam kelas perlu dipecah dua, hanya 17 orang dalam satu kelas' - Dr Mohd Radzi

'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' - Tiada kejayaan tanpa kehadiran guru

'Dalam perjalanan hidup ini kita sentiasa singgah di perguruan' - Dr Mohd Radzi

Pihak sekolah terpaksa hantar buku teks kepada pelajar pedalaman

JPN Sabah kuatkuasa bPBP atas masalah pelajar tiada telefon pintas dan akses internet