KUALA LUMPUR - Bagi mengejar cita-cita menjadi akauntan, pelajar Tingkatan Empat, Eliya Zaherra Noor Azam memilih bidang sastera dan kemanusiaan, walaupun ditawar mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban, Negeri Sembilan itu memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), tahun lepas.

"Saya lebih minat pengajian akaun berbanding sains tulen, jadi saya memilih untuk berada di aliran ini. sekolah memang terbuka sekiranya pelajar ingin menukar kepada subjek lain,” katanya ketika ditemui Bernama.

Kementerian Pendidikan melakukan perubahan dalam sukatan pelajaran mulai sesi persekolahan tahun ini dengan memansuhkan aliran sains dan sastera, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Menerusi pelaksanaan KSSM itu, terdapat dua pakej mata pelajaran ditawarkan kepada pelajar iaitu pakej STEM serta pakej sastera dan kemanusiaan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata ketika ini, sesi persekolahan di 125 sekolah menengah di negeri itu menumpukan kepada taklimat mengenai mata pelajaran yang boleh dipilih pelajar mengikut kesesuaian masing-masing.

Di JOHOR, Jabatan Pendidikan Negeri telah memanjangkan surat pekeliling berkaitan pemilihan pakej mata pelajaran kepada semua pengetua di 230 sekolah menengah di negeri itu.

Pengarahnya, Azman Adnan berkata ia bertujuan memberi kefahaman kepada pengetua mahupun guru bimbingan dan kaunseling dalam memastikan pelajar mendapat maklumat mengenai pemilihan pakej mata pelajaran mengikut kecenderungan dan keupayaan mereka sendiri.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Azam Ahmad berkata taklimat dan penerangan yang jelas dan terperinci berkaitan pelaksanaan pakej mata pelajaran telah diberikan kepada semua pengetua, guru dan pihak pengurusan sekolah sejak Oktober tahun lepas.

Jelasnya lagi, pihak sekolah boleh berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya guru tidak mencukupi khususnya bagi mengajar subjek baharu yang ditawarkan seperti Produksi Reka Tanda dan Grafik Komunikasi Teknikal.

Di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata pihaknya sedang menganalisis mengenai bilangan pelajar Tingkatan 4 yang memilih subjek mengikut minat mereka.

"Kita sedang analisis tetapi kita percaya tidak akan ada masalah dari segi penyediaan guru, lebihan atau pengurangan pelajar bagi sesuatu subjek melibatkan aliran sains dan juga sastera,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah juga perlu memainkan peranan membimbing pelajar untuk mengambil mata pelajaran yang sesuai mengikut keperluan pembangunan negara.

Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan negeri, Dr Azhar Ahmad juga berkata pihaknya masih memantau pengambilan mata pelajaran di sekolah serta bekalan tenaga pengajar yang ada.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan dapat memberi peluang kepada pihak sekolah dan guru melaksanakan dasar pemansuhan aliran sastera dan sains, secara berperingkat.

Presidennya Aminuddin Awang berkata persediaan rapi perlu dilakukan supaya guru-guru yang mengajar subjek teras tidak terbeban jika berlaku tugasan berganda.

Ini kerana katanya, tidak semua sekolah mempunyai guru yang mempunyai ‘opsyen’ yang sesuai dengan pakej subjek elektif yang dipohon pelajar. - Bernama

Artikel berkaitan:

Program di SK Setiawangsa, sembilan jam sebelum Maszlee letak jawatan (7 foto)

Teks ucapan penuh Maszlee ketika Sidang Media Khas

Maszlee umum peletakan jawtan jam 4.30 petang ini?

Rakaman penghargaan Maszlee kepada Dr Mahathir - Peletakan jawatan berkuatkuasa esok