KUALA LUMPUR - Pelbagai gelagat murid Tahun Satu mewarnai hari pertama sesi persekolahan 2020, semalam.

Ada yang menangis kerana ditinggalkan ibu bapa, tidur dalam kelas, malah tidak kurang juga ramai yang teruja berkenalan dengan rakan baharu, antara telatah yang sempat dirakamkan oleh lensa jurugambar Bernama yang membuat tinjauan di sekolah.

Setiap tahun, situasi beginilah yang dihadapi oleh para guru. Merekalah yang berusaha menanam keyakinan, kepercayaan dan keberanian kepada murid baharu agar mampu bergaul dan berkenalan dengan rakan baharu.

Walaupun sesekali lelah dengan kerenah yang pelbagai ragam namun demi anak bangsa mereka tidak pernah mengeluh mahupun putus asa untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Menurut Takwim Penggal Persekolahan 2020, kesemua negeri Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikategorikan sebagai Kumpulan A dan mengikut rekod lebih 130,000 murid Tahun Satu dan 106,391 pelajar Tingkatan Satu mula sesi persekolahan untuk keempat-empat negeri.

Bagi negeri lain sesi persekolahan bermula hari ini.

Muhd Ridzwan Nizam, 12, (kiri) mencuba sistem pengimbas wajah yang diperkenalkan semalam untuk merekodkan kehadirannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling, Johor Bahru. Sekolah itu menjadi sekolah pertama yang menggunakan teknologi tersebut untuk merekodkan kehadiran murid, guru dan kakitangannya. Sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan itu mempunyai seramai 1,034 pelajar, 76 guru dan 12 kakitangan pengurusan dan sokongan.

Di Johor, mengikut Jabatan Pendidikan Negeri seramai 53,372 murid Tahun Satu; 47,179 pelajar Tingkatan Satu, selain 20,590 kanak-kanak (prasekolah) memulakan persekolahan di 1,189 sekolah.

Sementara itu, di Kedah kira-kira 60,000 murid memasuki Tahun Satu dan Tingkatan Satu di lebih 700 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata hari pertama sesi persekolahan di kesemua sekolah itu berjalan lancar seperti dijadualkan.

Di Terengganu, seramai 21,595 pelajar Tahun Satu memasuki sekolah rendah manakala 18,178 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di sekolah menengah.

Guru Besar SK Taman Perling, Zamri Abd Wahab (dua, kanan) menerangkan kepada murid mengenai sistem pengimbas wajah yang diperkenalkan mulai semalam untuk merekod kehadiran mereka. sekolah itu merupakan pertama di Johor yang menggunakan sistem itu. Ia dilihat dapat meringankan kerja guru selain menarik minat murid untuk meminati bidang teknologi maklumat.

Pengarah Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, secara keseluruhan jumlah pelajar sekolah rendah di negeri itu adalah 128,609 pelajar manakala sekolah menengah mencatatkan 96,956 pelajar.

Katanya pada tahun ini terdapat 22,533 guru berkhidmat di seluruh sekolah di Terengganu.

Di Kelantan seramai 27,900 pelajar Tahun Satu memulakan sesi persekolahan mereka manakala seramai 11,034 pelajar memasuki Tingkatan Satu.

Menurut Jabatan Pendidikan Kelantan jumlah itu membabitkan keseluruhan 267,893 pelajar dan murid berdaftar memulakan sesi persekolahan tahun ini di 418 sekolah rendah dan 177 sekolah menengah. - Bernama

Pelajar Tingkatan Satu sekolah Menengah Kebagsaan (SMK) Semambu, Kuantan, Ahmad Haiqal Ahmad Faiz, ceria dan teruja bersama kelengkapan baru bagi memulakan sesi persekolahan 2020.

Seorang murid Tahun Satu menangis kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan rakan baru pada sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan di SK Pusat Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Seramai 185 murid baru Tahun Satu mendaftar di sekolah tersebut. Jumlah murid Tahun Satu di Terengganu seramai 21,595.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said beramah mesra dengan murid Tahun Satu pada hari pertama sesi persekolahan di SK Sungai Layar, Sungai Petani.

Cikgu Roziana Mohd membantu menenangkan seorang murid Tahun Satu yang mencari ibu bapanya pada sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan di SK Pusat Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Gelagat seorang murid tertidur pada perhimpunan sekolah ketika hari pertama sesi persekolahan 2020 di SK Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Dua pasangan kembar seiras (dari kiri) Tuan Amsyar Rasul Tuan Azman, Tuan Ammar Rasul Tuan Azman, Muhammad Akif Zikry Mohd Zohor dan Muhammad Akil Zarif Mohd Zohor yang
berusia tujuh tahun dan keempat-empat mereka ini merupakan antara 284 murid tahun satu berdaftar di SK Kubang Kerian 3.

Gelagat murid Tahun Satu SK Kubang Kerian 3 Wan Muhammad Hadiyyatullah Wan Mohd Hafiz Auri, 7, yang ditenangkan oleh guru pada hari pertama sesi persekolahan 2020.

Ibu bapa membantu anak-anak mereka membeli makanan di kantin pada waktu rehat pada Majlis Meraikan Murid Tahun Satu dan Waris di SK Taman Awana Jalan Langgar pada hari pertama persekolahan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama maskot Ultraman Zero bergambar bersama murid sekolah pada Majlis Meraikan Murid Tahun Satu dan Waris di SK Taman Awana Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah, pada hari pertama persekolahan Tahun 2020.

Murid Pendidikan Khas, Muhammad Rayyan Zarif Muhamad Ramlan yang masih membawa botol susu ditemani ibunya pada Majlis Meraikan Murid Tahun Satu dan Waris di SK Taman Awana Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah, pada hari pertama persekolahan Tahun 2020 hari ini. Seramai 102 orang murid mendaftar untuk kemasukan ke darjah satu di sekolah ini.

Gelagat seorang murid tertidur pada perhimpunan sekolah ketika hari pertama sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan bernama di sekolah SK Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) bersama Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Azman Adnan (enam, kiri) bersama murid SK Perempuan Sultan Ibrahim ketika melawat sesi pertama persekolahan 2020.

Tiga maskot animasi Pink Panther, Bugs Bunny dan Winnie The Pooh menceriakan murid Tahun Satu SK Kubang Kerian 3. Inisiatif tersebut diilhamkan oleh pihak sekolah bagi menceriakan murid terutamanya murid Tahun Satu yang hadir pada hari pertama sesi persekolahan 2020.

Zarinie Zulkifli, 36, memakaikan tali pinggang kaledar kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) pada anaknya Zulkifly Zulkarnain, 7, yang baharu memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan 2020. Penguatkuasaan penggunaan CRS dalam setiap kereta persendirian berkuatkuasa 1 Januari dan kanak-kanak di bawah ketinggian 135 sentimeter (cm) dan berat di bawah 36 kilogram (kg) perlu menggunakan CRS dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlakunya kemalangan.

Guru SK Kubang Kerian 3, Siti Norazlina Muhammad menenangkan dan mengelap air mata murid Tahun Satu, Muhammad Firash Suhaimin Abdullah, 7, pada hari pertama sesi persekolahan.

Guru Besar SK Lubuk Kawah, Jertih, Terengganu, Abd Yazid Mohd Zain (dua, kiri) membawa murid Tahun Satu melihat watak robot Transformer dengan lebih dekat pada hari pertama persekolahan 2020. Transformer yang sememangnya menjadi idola kepada ramai kanak-kanak itu telah didatangkan khas bagi menceriakan hari pertama persekolahan. Seramai 572 murid termasuk 90 murid Tahun Satu yang pertama kali menjejakkan kaki di alam persekolahan telah bersalaman dengan watak Transformer dan bergambar bersama guru mereka sebagai tanda kenangan. Abd Yazid berharap dengan kehadiran watak robot tersebut akan membangkitkan semangat untuk belajar kepada murid sekolahnya pada tahun baharu ini.

Warga SK Lubuk Kawah, Jertih, Terengganu teruja apabila didatangi watak robot Transformer pada hari pertama persekolahan 2020. Seramai 572 murid termasuk 90 murid Tahun Satu yang pertama kali menjejakkan kaki ke alam persekolahan terkejut dengan kehadiran Transformer ketika mereka sedang mengikuti perhimpunan di dataran sekolah mereka.

Murid Tahun Satu, Ainul Nadhirah Rosmizan (tengah) bersama rakan kelihatan ceria pada sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan di SK Pusat Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Ibu bapa murid Tahun satu memantau anak-anak mereka menerusi tingkap kelas pada sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan di SK Pusat Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Seorang bapa membetulkan kedudukan anaknya pada sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan di SK Pusat Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Seorang bapa membantu menulis nama anaknya pada buku pada sesi persekolahan 2020 ketika tinjauan di SK Pusat Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya (tujuh, kanan) bersama guru SK Pulau Perhentian, Besut sebelum mereka balik ke sekolah bagi memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran 2020 di Jeti Taman Luat, Kuala Besut. Abdullah Zawawi turut menyampaikan sumbangan keperluan harian iaitu beras, telur, gula dan makanan kepada guru berkenaan. Turut hadir guru besar sekolah berkenaan, Suhairi Sulong (enam, kiri). Kesemua guru bersama keluarga mereka berlepas menggunakan bot kepunyaan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Nik Zawawi Mohd Noor yang mengambil masa 50 minit.

Pengetua sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Jertih, Ahmad Zaki Mohamad (empat, kanan) melihat pelajar sekolahnya membuat pendaftaran untuk memasuki asrama pada Majlis Pendaftaran sekolah dan Asrama. Seramai 500 pelajar berjaya mendapat tempat untuk menduduki asrama pada tahun 2020. SMKA Wataniah merupakan antara SMKA terbaik di Terengganu kerana sering mencatatkan keputusan cemerlang sama ada dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun.

Ibu bapa pelajar baharu Tingkatan Satu SMKA Wataniah, Jertih, sibuk mendaftarkan anak masing-masing pada Hari Pendaftaran sekolah dan Asrama SMKA Wataniah  2020.

Murid teruja dapat bertemu Maskot Ultraman Zero pada Majlis Meraikan Murid Tahun Satu dan Waris di SK Taman Awana Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah, pada hari pertama persekolahan. Seramai 102 murid mendaftar untuk kemasukan ke Tahun Satu di sekolah itu.

Artikel lain:

Kedudukan lencana sekolah dan tanda nama murid pada pakaian seragam sekolah

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Cara pengiraan untuk Ganjaran Cuti Rehat dengan wang tunai

'Tidak layak ke sekolah asrama penuh, bukan gelap masa depan' - Penulis ini kongsi pengalaman

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik