KUALA LUMPUR - Persatuan-persatuan berkaitan pendidikan berharap Menteri Pendidikan baharu dapat meneruskan legasi Dr Maszlee Malik, seterusnya menambah baik sektor pendidikan negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminudin Awang berkata pihaknya melihat kesungguhan Maszlee sebagai ahli akademik untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara.

"Beliau telah memulakan pelbagai program dan berusaha ke arah sistem pendidikan yang lebih baik antaranya seperti membaik pulih sekolah-sekolah daif di Malaysia, Program Sarapan Pagi dan mengurangkan korupsi di kementerian," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata isu-isu seperti bebanan tugas guru, pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan untuk semua khususnya bagi Orang Kurang Upaya (OKU) perlu diberikan perhatian oleh menteri yang baharu.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa hari ini dalam sidang media di pejabatnya di kementerian itu, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berharap peneraju baharu Kementerian Pendidikan mampu membawa aspirasi pendidikan negara dan menangani isu-isu kontroversi yang dibangkitkan kelompok tertentu.

"Saya melihat perubahan menteri tidak akan menjejaskan dasar-dasar pendidikan yang sedia ada tetapi ia ke arah mengukuhkan sistem pendidikan supaya mampu berdepan dengan cabaran semasa daripada pihak yang menimbulkan tindakan-tindakan yang menggugat dasar dan polisi Kementerian Pendidikan,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan pula menerusi catatan dalam akaun Facebook rasminya berkata beliau yakin legasi Maszlee sebagai Menteri Pendidikan tidak akan dilupakan.

"Tanggungjawab besar itu adalah suatu amanah yang amat mencabar untuk sesiapa jua yang memegangnya. Saya yakin legasi beliau sebagai Menteri Pendidikan tidak akan dilupakan. Terima kasih Dr Maszlee atas segala jasamu," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan:

Program di SK Setiawangsa, sembilan jam sebelum Maszlee letak jawatan (7 foto)

Teks ucapan penuh Maszlee ketika Sidang Media Khas

Maszlee umum peletakan jawtan jam 4.30 petang ini?

Rakaman penghargaan Maszlee kepada Dr Mahathir - Peletakan jawatan berkuatkuasa esok