Sekumpulan perunding pakar pediatrik hari ini merayu pihak berkuasa supaya menimbangkan untuk menambah baik kualiti prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sekolah berhubung langkah-langkah mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan empat perunding berkenaan, mereka berkata SOP serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini dilihat agak kurang tepat, dengan arahan yang agak kabur dan pelan tindakan untuk kes penting yang tidak lengkap.

"SOP itu tidak memberi penjelasan mengenai cara untuk menggalakkan tiga ‘W’ (wash-membersihkan tangan, wear-memakai pelitup muka, warn-amaran jangkitan) di samping tidak menjelaskan bagaimana cara mengelak tiga ‘C’ (close-perbualan dekat, confined-tempat sempit, crowded-tempat ramai) bagi para pelajar, guru dan petugas pentadbiran,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluakan oleh penasihat National Early Childhood Intervention Council (NECIC) Datuk Dr Amar Singh HSS; Presiden NECIC Dr Wong Woan Yiing; Pengerusi Persatuan Positive Parenting Programme of the Malaysian Paediatric Datuk Dr Zulkifli Ismail; dan Presiden Malaysian Paediatric Association Dr Hung Liang Choo.

Dalam menyampaikan ucapan tahniah kepada Kementerian Pendidikan dengan penyediaan SOP berkenaan, kenyataan itu bagaimanapun berkata garis panduan perlu ditampilkan dengan lebih menyeluruh, dilengkapi dengan saranan-saranan yang jelas dan bermakna yang boleh dipatuhi oleh guru dan pelajar.

Menurut kenyataan itu walaupun amalan membasuh tangan dengan air dan sabun dalam kalangan guru dan pelajar dinyatakan dalam SOP itu, namun kewajipan penggunaan pensanitasi tangan sebelum dan selepas kelas tidak dinyatakan.

Kenyataan itu turut merujuk kepada kekurangan garis panduan berhubung pemakaian pelitup atau pelindung muka bagi para guru semasa mengajar dalam kelas.

Perkara-perkara lain yang dibangkitkan termasuk pengurusan penempatan pelajar di sekolah-sekolah yang padat, dasar pengunaan tandas, interaksi antara pelajar di kelas yang berbeza, bilik guru, ventilasi dalam kelas, pemantauan harian peruntukan makanan antara sekolah, serta pembiayaan bagi sumber-sumber seperti alat saringan suhu badan, dan pensanitasi tangan.

"Latihan buat pelajar dan petugas ada disebut secara umum dan diserahkan kepada budi bicara pihak berkuasa sekolah. Bagaimanapun bahan-bahan latihan antara sekolah perlu diseragamkan supaya ia boleh menyalurkan maklumat yang menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang antaranya memaklumkan bahawa sekolah akan dibuka semula secara berperingkat berdasarkan kepada nasihat oleh Kementerian Kesihatan.- BERNAMA

Artikel berkaitan:

Pelaksanaan : Pengurusan Prasarana

Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) : Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) : Penglibatan Ibu Bapa/Penjaga

Pelaksanaan : Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)