Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara yang hanya membabitkan calon peperiksaan utama bagi 2020.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi semua murid sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan Lima di sekolah menengah merupakan langkah bertepatan susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata, PdPR ini amat perlu dan dikehendaki disebabkan antaranya kenaikan kes harian baharu yang telah melebihi empat ribu kes yang majoritinya warganegara, kes aktif pesakit yang telah melebihi 37 ribu kes dan peningkatan kes terutama di kawasan zon merah.

“Secara relatifnya pendekatan PdPR yang bermakna dan berkesan adalah baru di Malaysia serta perlu diperkukuhkan dengan komitmen jitu memandangkan terdapat beberapa kekangan, antaranya liputan/kapasiti jalur lebar internet khasnya untuk mencakupi keselurahan negara, terutama di kawasan pendalaman serta luar bandar.

“Selain itu, kesediaan peranti dan alatan lain yang diperlukan bagi setiap pelajar  memerlukan ketika dikehendaki tanpa sebarang gangguan, ibu bapa juga perlu bekerja dari rumah serta ketiadaan pemantauan mahupun penilaian berkesan,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Menurut beliau, kekangan tersebut juga perlu diambil tindakan oleh pihak berkepentingan terlibat secara sistematik dan tuntas, sekali gus bagi memastikan kelancaran proses PdPR.

“Antara cadangan lain termasuk pihak swasta perlu bersama-sama kerajaan khususnya dalam memastikan dana dan keperluan mencukupi untuk pelajar memiliki peranti dan liputan jalur lebar yang diperlukan, di samping mewujudkan Pusat Rujukan PdPR disetiap PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) serta JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) sebagai one ‘one stop center’ dalam menangani apa jua permasalahan melibatkan PdPR ini.

“Pada masa sama, perlu juga menempatkan seorang pegawai khas yang bertindak sebagai koordinator dan perancang bagi memastikan PdPR ini dapat dimanfaatkan secara berterusan walaupun selepas pandemik ini berakhir, selain pemeriksaan mengejut pelaksanaan ini secara berkala,” jelas beliau.

KPM dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini adalah melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Selain itu, turut tersenarai adalah pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

Menerusi kenyataan itu, KPM menjelaskan pendekatan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, bagi pelajar yang mula mendaftar masuk ke asrama mulai 16 Januari lalu susulan arahan terdahulu, KPM mengambil keputusan untuk membuat beberapa ketetapan.

Antaranya, pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sekolah berasrama penuh boleh kekal berada di institusi masing-masing serta mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP), secara dalam talian di sekolah.

"Mereka juga boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6, sama ada di sekolah berasrama penuh atau asrama sekolah harian akan mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah hingga selesai peperiksaan,” kata kenyataan itu lagi.