SEMUA sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, ia perlu dirujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

“Semuanya (juga perlu) tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan oleh KPM supaya kita dapat menamatkan rangkaian koronavirus (Covid-19).

“(Pembukaan itu juga) termasuk madrasah yang berdaftar di bawah KPM boleh terus beroperasi tetapi jika tidak berdaftar, mereka kena mohon dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan pelajar kelas peralihan serta murid Tahun Lima dan Enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Dr Mohd Radzi berkata, pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun Satu hingga Empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan memberikan latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP sesuai dengan normal baharu bagi meningkatkan kompetensi mereka.

“MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir, penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) dalam usaha menyelesaikan kes yang tertunggak,” katanya.

BERNAMA