SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bukit Damansara, Kuala Lumpur menetapkan ciri tertentu bagi memilih pengawas pusat sumber sekolah (PSS) sekolah itu.

Guru Penyelaras PSS, Anis Sofia Mohamed Rashidi, berkata, murid yang sentiasa menepati masa, berperwatakan ceria, rajin dan bertanggungjawab dalam tugasan akan diberi keutamaan untuk menggalas jawatan penting itu.

"Calon juga akan dinilai berdasarkan prestasi akademik dan disiplin," ujarnya.

Beliau yang juga guru bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah berkata, pemilihan untuk memegang jawatan Pengawas PSS akan bermula dengan pencalonan daripada guru kelas.

"Mereka yang tercalon akan dipanggil untuk ditemu duga oleh guru penyelaras PSS. Calon akan ditanya mengenai PSS dan buku, selain mengenai sahsiah diri dan perwatakan calon," katanya.

Cikgu Anis Sofia berkata, seorang pengawas PSS perlu memastikan pusat sumber dalam keadaan kemas, bersih, lebih praktikal, selesa dan teratur untuk semua penggunanya.

"Mereka juga perlu memastikan semua program berjalan dengan lancar, menolong guru membudayakan budaya membaca dalam kalangan murid, mengendalikan proses peminjaman dan pemulangan buku dan memastikan sekolah menjadi gedung ilmu berprestasi tinggi," jelasnya.

Sementara itu, seramai 14 murid Tahap Dua dilantik sebagai Pengawas PSS bagi sesi 2020, pada Majlis Watikah Pelantikan Pengawas Pusat Sumber SK Bukit Damansara, 20 Januari lalu.

Majlis yang diadakan di dewan besar sekolah itu dianjurkan Perpustakaan Ibnu Sina dan Media SK Bukit Damansara dengan dirasmikan Guru Besar, Laili Saidon.

Tambah Cikgu Anis Sofia, jumlah pengawas PSS bagi tahun ini seramai 56 orang.

"Kita telah memilih 12 daripada 56 pengawas PSS untuk menerajui barisan exco tertinggi.

"Murid Tahun Enam, Ameera Farzana Arif Rasdan dilantik sebagai ketua pengawas PSS dengan dibantu Muhammad Jibrael Hafey manakala Nuryuhanis Qistina Rushdan sebagai penolong ketua pengawas PSS 2.  

"Selebihnya ialah jawatan seperti setiausaha, naib setiausaha, ketua exco sirkulasi, penolong ketua exco sirkulasi 1 dan 2, ketua exco kebersihan dan penolong ketua exco kebersihan 1, 2 dan 3," katanya dengan menambah, majlis berkenaan turut melancarkan Program Membaca iaitu #skbdmembaca 2020.

Dengan pelantikan itu, Cikgu Anis Sofia berharap semua PSS dapat menjalankan tugas dengan baik, amanah dan bertanggungjawab dalam menjadikan pusat sumber cemerlang dan terus bersinar.

"Saya juga mengharapkan semua pengawas PSS menjadi insan berguna, yang sentiasa bersinar kerana mereka ialah permata sekolah," ujarnya.

Cikgu Laili (dua dari kiri) bersama Cikgu Anis Sofia (kiri), Penolong Kanan Kurikulum, Zaini Md Saad (dua dari kanan) dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohd Nasir Ramli (kanan) selepas perasmian dua program SK Bukit Damansara.

Cikgu Laili (kanan) menyampaikan sijil pelantikan kepada Nuryuhanis Qistina.

REAKSI

1) "Tak sangka dilantik sebagai Ketua Pengawas PSS. Insya-Allah, saya akan menjalankan tanggungjawab yang diberi sebaik mungkin. Saya juga akan berusaha untuk menjadikan PSS sebagai lokasi yang sentiasa dikunjungi ramai."   

- Ameera Farzana Arif Rasdan

Tahun 6 Bestari

Ketua Pengawas Pusat Sumber

 

2) "Sudah tiga tahun saya pegang jawatan ini. Pelbagai cabaran yang perlu diharungi namun saya tetap seronok. Kepada mereka yang baru dilantik, saya doakan agar dapat jalankan tugas dengan baik."

- Nuryuhanis Qistina Rushdan

Tahun 6 Proaktif

Penolong Ketua Pengawas Pusat Sumber 2

 

3) "Sangat gembira dan terharu kerana diberi peluang untuk berkhidmat sebagai pengawas PSS. Inilah peluang saya untuk menambahkan kemahiran dan pengalaman, sambil menabur bakti kepada sekolah."

- Muhammad Adam Rustam

Murid Tahun 6 Bestari

Pengawas Pusat Sumber

Artikel Menarik:

Pengetua ini kongsi apa yang sekolahnya buat untuk STPM 2019. Memang tak sangka!

'Hafal pecahan popular ini' - Pesanan penting cikgu Matematik untuk calon UPSR

'Gumpal kertas dan mengecop antara aktiviti latih anak menulis' - Ini perkongsian Cikgu Ashikin