Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membuat pengurangan yuran pendaftaran kepada pelajar baharu semester 1 sesi akademik 2020/2021 daripada RM1,200 kepada RM850.

Universiti itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan dengan pengurangan itu, pelajar akan menerima pemulangan wang berjumlah RM350.

Menurut kenyataan itu, seramai 3,854 pelajar tahun satu yang mendaftar di UKM pada Oktober tahun lepas terlibat dengan pemulangan yuran membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1.34 juta.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman menjelaskan, langkah itu dibuat berikutan penularan COVID-19 yang menyebabkan pelajar tidak dapat mengikuti aktiviti minggu mesra mahasiswa baharu secara bersemuka.

Beliau turut berharap ia dapat meringankan beban pelajar yang terkesan pada ketika ini, serta melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, kenyataan itu menyebut bagi semester 2 sesi akademik 2020/2021 yang akan bermula Mac ini, UKM membuat ketetapan bahawa pengurangan yuran tidak dilakukan secara pemberian tunai, sebaliknya menerusi penolakan yuran semester akan datang.

"Namun, pengecualian boleh diberikan kepada pelajar yang memerlukan pemulangan tunai tertakluk kepada pelajar mengemaskinikan maklumat akaun bank,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA