KUALA LUMPUR - Yayasan Hasanah, sebuah entiti Khazanah Nasional Bhd, akan menyediakan komputer riba, tablet dan kesambungan data kepada pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah menerusi inisiatif CERDIK mulai bulan depan.

CERDIK, inisiatif rintis yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, bertujuan membantu para pelajar menyesuaikan diri dengan norma baharu pelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran luar bilik darjah.

Yayasan Hasanah yang merupakan sekretariat inisiatif tersebut, menerusi kenyataan hari ini, menjelaskan usaha berkenaan melibatkan sumbangan bernilai RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Petroliam Nasional Bhd.

Pemilihan pelajar dan sekolah untuk inisiatif CERDIK akan ditentukan oleh Kementerian pendidikan (KPM).

Menurut yayasan itu, KPM juga secara teliti akan memutuskan mengenai spesifikasi perkakasan dan perisian bagi memastikan pelaksanaan yang mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan dan jangka hayat lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata pihak kementerian mahu merapatkan jurang pembelajaran di antara yang mampu memiliki peranti digital dengan yang kurang bernasib baik.

"Kami berharap inisiatif ini akan merintis model-model pembelajaran digital untuk penggunaan pada masa depan,” katanya.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata pihaknya komited menyokong model pembelajaran inovatif dan berskala yang menggalakkan kesaksamaan dan peluang sama rata untuk membolehkan akses kepada pembelajaran berkualiti bagi semua.

"Yayasan Hasanah telah bekerjasama rapat dengan KPM dalam merancang inisiatif CERDIK untuk memastikan pelaksanaan secara mampan, dan kami berusaha ke arah mempercepat pengagihan (mulai Februari dan seterusnya),” katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Aplikasi telegram bantu murid belajar dengan mudah, ibu bapa boleh muat turun sekarang

Kesedihan terubat, tablet sumbangan Ustaz Ebit Lew, ‘talian hayat’ buat tiga pelajar autisme