SHARJAH, Emiriyah Arab Bersatu - The Big Heart Foundation (TBHF) sebuah organisasi  kemanusiaan antarabangsa yang terkemuka yang berpusat di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu menawarkan bantuan kemanusiaan bernilai RM64.21 (AS$ 15.8 juta) kepada 1,091,000 pelarian, orang yang terpinggir secara dalaman serta golongan kurang bernasib baik di 12 negara yang dilanda konflik di seluruh dunia.

Pengarah TBHF Mariam Al Hammadi berkata, organisasi ini beroperasi di bawah kepimpinan Yang Teramat Mulia Sheikha Jawaher Mohammed Al Qasimi yang merupakan penyokong kuat UNHCR dan Pengerusi TBHF.

"Badan kemanusiaan yang tidak mencari keuntungan ini beroperasi dari Sharjah Amiriah ketiga terbesar di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah menggerakkan dana untuk menyokong dan memulakan 20 projek dengan kerjasama UNHCR.

"Antara projek yang akan dilaksanakan ialah Doktor tanpa Sempadan (Médecins Sans Frontières) di sektor penting bagi keselamatan makanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

"Usaha kami pada tahun lalu membabitkan 12 negara, iaitu Bangladesh, Mesir, Iraq, Jordan, Malaysia, Pakistan, Palestin, Syria, Tanzania, Mauritania, Somalia dan Sudan Selatan," katanya.

Kata beliau, pihaknya memberi tumpuan bukan hanya kepada pergerakan bantuan kecemasan, tetapi juga melihat ke dalam pemulihan jangka panjang dan pembangunan semula masyarakat melalui peningkatan akses orang ramai kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebolehpasaran yang lebih baik. 

Mariam berkata, strategi kemanusiaan yang diterima pakai oleh TBHF pada tahun lalu akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Usaha pihaknya adalah berdasarkan kepada dua prinsip utama, iaitu bantuan segera, diikuti oleh pembinaan masyarakat dan pemulihan melalui pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan.

"Ini telah membantu kumpulan yang kurang bernasib baik untuk mengakses peralatan yang mereka perlukan bagi menjamin masa depan mereka, dan akan mengukuhkan kemaraan global ke arah merealisasikan Agenda PBB 2030,” katanya.

Menurut beliau, TBHF mengerahkan projek melalui enam dana yang beroperasi di bawah payung mereka, iaitu:

1.  Dana MENA memudahkan pembangunan bangunan utama Institut Kanser Kebangsaan (NCI) di Kaherah, Mesir.

2. Dana Pelarian dan IDP telah memperhebatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi 24,000 orang pelarian Syria di 'Klinik Big Heart' di Kem Zaatari Jordan, dan memudahkan pembinaan sebuah hospital 100-katil di Cox's Bazar untuk pelarian Rohingya.

3. Dana Kanak-kanak Palestin membolehkan penubuhan sekolah menengah yang pertama bagi 45,000 orang kanak-kanak yang kurang upaya pendengaran di Palestin.  Ia juga menyokong bantuan perubatan segera UNRWA untuk kanak-kanak.

4. Dana Zakat TBHF menubuhkan sebuah pusat komuniti bagi 3,000 pelajar yang terpinggir secara dalaman di Aleppo untuk menyokong usaha UNHCR bagi menyediakan aktiviti perlindungan  jangka panjang.

5. Dana Kecemasan mereka memberikan bantuan segera kepada masyarakat yang terdedah di Sudan Selatan, dengan kerjasama Program Makanan Dunia PBB (WFP).

6. Dana Ameera menyumbangkan kepada 16 peratus daripada sumbangan keseluruhan TBHF pada tahun lalu melalui beberapa projek dan kempen untuk menggalakkan kesedaran kanser. - Bernama