BANGKOK - Kesemua 12 remaja bersama jurulatih pasukan bola sepak Wild Boars yang diselamatkan dari gua Tham Luang pada minggu lalu hanya dapat menonton rakaman perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Perancis menentang Croatia, semalam.

"Waktu siaran langsung itu agak lewat. Kami mahu mereka berehat dan tidak terlalu kerap melihat skrin televisyen. Jadi, kami akan merekodkan untuk mereka," kata jurucakap di hospital Chiang Rai Prachanukroh.

Difahamkan, perlawanan akhir di Moscow itu berlangsung pada jam 10 malam (waktu tempatan).

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menawarkan tiket percuma untuk bersamasama menyaksikan perlawanan final itu, namun mereka tidak dibenarkan menghadiri acara itu atas faktor kesihatan.

Selain itu, kelab bola sepak, Manchester United juga menjemput kesemua mereka untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih kurang 4,000 sukarelawan menyertai operasi pembersihan di sekitar gua Tham Luang.