SIAPA sangka aksi remaja ini memanjat tiang bendera mendapat perhatian banyak pihak dan turut dijemput bersama ibu bapanya bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi di Istana Presiden, Isnin lalu.

Yohanes Gama Marchal Lau atau Joni, 13 disambut beberapa pemimpin termasuk pemangku Gabenor Nusa Tenggara Timur (NTT), Robert Simbolan ketika dia pulang ke Kupang, kelmarin.

Atas keberanian remaja itu, Simbolan berjanji untuk membiayai pendidikannya hingga ke peringkat universiti dan memberi sumbangan 25 juta rupiah (RM7,019) kepada keluarganya.

"Saya sudah catatkan nama pihak yang mahu membantu Joni. Aksi berani remaja itu memanjat tiang bendera setinggi 20 meter itu jelas menunjukkan sikap patriotisme dan nasionalisme warga NTT. Joni adalah wira cilik dari wilayah ini," katanya.

Selain mendapat penghargaan daripada pemerintah wilayah NTT, Joni juga menerima hadiah wang tunai berjumlah 50 juta rupiah (RM14,038) daripada Bank Christa Jaya.

Ketika sambutan ulang tahun ke-73 Republik Indonesia di Pantai Motaain, Desa Silawan, Kabupaten Belu, pelajar kelas 1 itu nekad memanjat dengan pantas selepas tali bendera terbabit terlepas dan tersangkut pada hujung tiang. - Kompas.com