MELBOURNE - Setelah menjadi sensasi internet susulan tindakan nekad membaling telur ke kepala seorang senator Australia yang mengeluarkan kenyataan jelik berhubung serangan di Christchurch, pelajar sekolah tinggi dikenal sebagai Egg Boy sekali lagi meraih perhatian dunia.

Ia berikutan hasrat murni remaja berusia 17 tahun itu untuk mendermakan hasil kutipan dalam talian yang diperoleh daripada laman GoFundMe kepada keluarga mangsa.

Derma berjumlah AS$22,000 (RM90,000) itu pada awalnya bertujuan menanggung bayaran guaman remaja terbabit.

Egg Boy atau nama sebenarnya Will Connolly mula terkenal berikutan aksinya menghempuk kepala Senator Queensland, Fraser Anning dengan telur selepas ahli politik itu menuduh insiden serangan pengganas di Christchurch berpunca daripada kebanjiran komuniti Islam dan kelemahan polisi imigresen New Zealand.

Terdahulu, sebuah petisyen telah ditandatangani lebih sejuta orang bagi mendesak peletakan jawatan Anning sebagai senator susulan tindakannya menampar muka Egg Boy setelah dibaling telur.

Anning bagaimanapun dengan nada sombong dan angkuh berkata, Connolly wajar ditampar kerana dia telah berkelakuan buruk.- NYTIEggMES