Sejak ditubuhkan pada 2014, kini Maahad Haji Fickry atau lebih dikenal sebagai Fickry High School yang terletak di Kampung Chumnik di Wilayah Krochmar, Kemboja, menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang mahu menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan.

Sekolah tersebut yang dibina hasil usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia iaitu Pertubuhan Kebajikan Semai Budi (Permai Budi) kini mempunyai dua blok bangunan dengan jumlah pelajar sehingga 850 orang dengan dua aliran pengajian iaitu agama dan kebangsaan.

Pengerusi Permai Budi, Kamarul Azlan Rahman berkata, tertubuhnya sekolah tersebut adalah hasil derma daripada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap keterbatasan penduduk di kawasan tersebut kerana kurang berkemampuan dan masih tidak mendapat pendidikan sehingga peringkat lebih tinggi.

"Alhamdulillah sejak adanya sekolah ini, penduduk semakin terbuka minda mereka mengenai pentingnya pendidikan, justeru mahu memasukkan anak-anak mereka ke sekolah ini.

"Dahulu, kebanyakan penduduk di sini kurang beri keutamaan kepada pendidikan anak-anak sehingga peringkat tinggi kerana mungkin masalah kewangan. Namun sejak adanya sekolah ini di kampung mereka, perkara tersebut berubah sehingga jumlah kemasukan melebihi apa yang disasarkan," katanya.'

KAMARUL AZLAN

Menurutnya, melihat kepada sambutan yang diterima dari tahun ke tahun, pihaknya mahu memberikan fokus untuk memperkasakan sekolah tersebut demi kebaikan penduduk sekitar.

"Selain membantu mendapatkan pendidikan, sekolah ini membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak kampung yang berkelulusan dari universiti luar negara seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Al Azhar, selain menjadi pemangkin menjana ekonomi penduduk setempat," katanya.

Pencapaian sekolah

Mengulas mengenai pencapaian sekolah tersebut pula, Kamarul Azlan berkata, tahun ini akan menjadi tahun pertama pelajarnya mengambil sijil yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah mempunyai dua kumpulan pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan kelulusan yang cemerlang.

Mengenai dana pula, katanya, sebelum ini, ada penderma yang ikhlas menampung segala perbelanjaan pengurusan sekolah dan gaji guru di sekolah tersebut.

"Namun kerana mahu melangkah lebih jauh, kami membuka dana pendidikan kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan pihak pengurusan meneruskan operasi sekolah ini yang terbukti membantu anak-anak tempatan Kemboja ini mendapatkan pendidikan sewajarnya.

"Oleh itu, saya berharap kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu semampunya menderma kepada sekolah ini, agar kos meneruskan operasi sekolah ini dapat dilakukan, di mana, sebulan sekolah ini memerlukan dana RM28,000 hingga RM30,000," katanya.

Dalam perkembangan sama, NGO tersebut juga banyak melakukan aktiviti kesukarelawan membantu penduduk di sana termasuk pemeriksaan kesihatan, pergigian dan program berkhatan yang dilakukan oleh doktor bertauliah dari Malaysia dan juga Indonesia.

Justeru, bagi yang ingin menyampaikan sumbangan kepada NGO ini, agar mereka dapat meneruskan usaha murni membantu penduduk di Kampung Chumnik ini terutama dari segi pendidikan, boleh salurkan ke nombor akaun Maybank 555126525138.