Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana berkata, pihak berkuasa negaranya akan menyeragamkan pengajaran di kedua-dua sekolah awam dan persendirian Islam susulan rampasan militan tahun lalu yang meningkatkan kebimbangan terhadap pengaruh radikal lebih besar.

Lorenzana menerusi laporan laman berita Arab News berkata, Filipina akan melaksanakan satu ‘sistem madrasah berinstitusi’.

Sistem berkenaan merangkumi kurikulum seragam dan pengawasan lebih ketat daripada Jabatan Pendidikan negara itu.

Beliau berkata, sesetengah sekolah sedemikian dikendalikan individu yang mempunyai pandangan pelampau, menyebabkan mereka menyalurkan pembiayaan rahsia untuk aktiviti radikal.

Lorenzana berkata demikian dalam persidangan keselamatan di republik ini, Shangri-la Dialogue dihadiri Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis, pegawai pertahanan serta ahli akademik dari 43 negara.

Beliau menambah, hasil rondaan menyasar militan Islam di Laut Sulu agak menggalakkan.

Sejak Jun lalu, Filipina, Malaysia dan Indonesia melakukan rondaan kawasan di sekitar Sabah dan selatan Filipina di mana militan berhasrat mewujudkan pengaruh.

Kepungan lima bulan di bandar Marawi di pulau selatan Mindanao tahun lalu menyebabkan lebih 1,100 maut dan 200,000 penduduk hilang tempat tinggal. -Agensi