SINGAPURA - Kementerian Pendidikan (MOE) mengeluarkan garis panduan bagi membantu ibu bapa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha  menggalakkkan anak-anak lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka.

Garis panduan tersebut termasuk cara menyediakan rutin dan persekitaran rumah yang baik.

Ibu bapa juga digalakkan menghormati waktu kerja guru dengan hanya menghubungi mereka semasa waktu pejabat.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Profesor Madya Muhammad  Faishal Ibrahim berkata, terdapat banyak perkara menjangkaui gred akademik seperti  kemahiran urus diri dan mengambil tanggungjawab.

"Dunia berubah dengan pesat, anda perlu pantas dan fleksibel serta  berdaya bingkas untuk meraih peluang yang ada dan menghadapi cabaran," katanya  sebagaimana dipetik berkata kepada Mediacorp.

Katanya, meskipun panduan berkenaan bukan sesuatu yang baharu, ia kali pertama kementerian itu mengeluarkan garis panduan yang jelas berikutan penglibatan ibu bapa yang kian meningkat.

"Garis panduan itu juga bertujuan menyediakan sokongan lebih baik kepada ibu bapa dan pelajar berikutan perubahan seperti kurang penekanan pada gred,"  katanya.

Menurutnya, garis panduan itu dilakarkan hasil rundingan bersama pihak sekolah dan ibu bapa. 

Sementara itu, guru, Zuraida Akbar berkata, beliau mengalu-alukan panduan tersebut kerana masih terdapat sebilangan ibu bapa yang terlalu bergantung kepada guru untuk mendapatkan maklumat. 

"Kami berinteraksi dengan ibu bapa secara kerap dan menerusi ini  kami menekankan kami juga mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

"Pada masa yang sama, kami mahu mengasuh anak-anak supaya belajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka," katanya.