23 Jun

Remaja berusia antara 11 dan 16 tahun bersama jurulatih bola sepak mereka berumur 25 tahun memasuki Gua Tham Luang di utara Thailand ketika hujan lebat selepas selesai latihan bola sepak.

Kehilangan mereka dilaporkan salah seorang ibu remaja terbabit.

Pihak berkuasa temui basikal dikunci pada pagar selain kasut but milik mereka di pintu masuk gua.

24 Jun

Renjer di Taman Hutan Khun Nam Nang di Chiang Rai dan polis temui jejak langkah dipercayai milik mereka.

Kesemua mangsa dipercayai terperangkap dalam gua yang ditenggelami banjir.

Keluarga kesemua mangsa mula berkumpul di luar gua.

25 Jun

Penyelam Seal tentera laut Thai mencari kesemua remaja tersebut.

Hujan lebat berterusan.

Mereka dipercayai memasuki kawasan lebih jauh dalam gua terbabit.

26 Jun

Pasukan penyelam tiba di persimpangan T terletak beberapa kilometer dalam Tham Luang, namun terpaksa berpatah balik kerana aliran air banjir yang menghalang laluan sempit berhampiran Pantai Pattaya.

27 Jun

Pasukan terdiri daripada lebih 30 anggota tentera Amerika Syarikat bersama tiga pakar penyelam dari Britain memasuki pintu gua.

Tetapi terpaksa patah balik kerana banjir besar.

28 Jun

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bawah air itu juga terpaksa dihentikan sementara kerana aliran deras banjir.

Pam air dihantar untuk mengalirkan banjir yang keruh.

Dron turut dihantar untuk membantu mencari cerobong atau lubang baharu.

29 Jun

Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha melawat lokasi dan bertemu keluarga mangsa.

Memberi sokongan kepada mereka agar tidak putus asa.

30 Jun

Keadaan cuaca yang agak baik membolehkan penyelam memasuki kawasan lebih dalam, namun masih belum temui kesemua mangsa.

1 Julai

Pusat operasi dibuka dalam gua terbabit bersama ratusan tangki udara dan peralatan lain bagi membolehkan penyelam boleh berada lebih lama dalam air.

2 Julai

Detik bersejarah.

Kesemua 12 remaja bersama jurulatih mereka ditemui masih hidup kira-kira 400 meter di luar Pantai Pattaya.

3 Julai

Bekalan makanan dan ubat-ubatan dihantar kepada kesemua mangsa. 

4 Julai

Mereka diajar cara menggunakan topeng menyelam dan alat pernafasan.

Pihak berkuasa mengepam keluar air dari gua tersebut.

5 Julai

Pasukan penyelamat mendakwa misi SAR menjadi semakin sukar dan mungkin mengambil masa beberapa bulan.

6 Julai

Salah seorang penyelam meninggal dunia selepas menghantar tangki oksigen.

Kematian bekas anggota Seal, Saman Kunan meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan misi tersebut dalam usaha membawa keluar kesemua mangsa.

Paras oksigen dilaporkan menurun dan peluang untuk menyelamatkan mereka makin ‘terhad’.

7 Julai

Ketua Operasi, Narongsak Osottanakorn berkata, ia belum masa yang sesuai untuk menyelamatkan kesemua mangsa dengan cara meminta mereka menyelam keluar.

Lebih 100 cerobong atau lubang ditebuk dalam kawasan pergunungan untuk cari jalan ke lokasi kesemua mangsa.

8 Julai 

Petugas media dan keluarga mangsa diminta tinggalkan kawasan gua. 

Operasi menyelamat yang mencabar bermula.

Dua mangsa berjaya dibawa keluar.