BANGKOK - Misi menyelamat pasukan bola sepak kanak-kanak yang terperangkap selama dua hari di dalam sebuah gua di utara Thailand sedang dijalankan.

Menurut Timbalan Gabenor Chiang Rai, Pasakorn Boonyalug, pihak penyelamat tiba di salah satu ruang di gua tersebut di mana 12 pelajar bersama jurulatihnya dipercayai terperangkap.

“Kami rasa mereka terperangkap di bahagian gua tersebut. Mereka tidak makan sejak Sabtu, jadi kami bawa makanan dan minuman untuk mereka,” katanya.

Pelajar berusia antara 11 dan 16 tahun memasuki gua Tham Luang bersama jurulatihnya pada Sabtu lalu.

Ibu salah seorang pelajar tersebut berkata, anaknya tidak pulang sejak menjalani latihan bola sepak pada waktu petang.

Hujan monsun melanda daerah itu beberapa hari lalu, menyebabkan gua tersebut dipenuhi air dan basikal serta kasut kepunyaan pelajar itu dijumpai berdekatan pintu gua tersebut

Pasukan keselamatan memulakan operasi pada Sabtu malam namun terhenti berikutan paras air naik mendadak, memerlukan penyelam untuk melalui kawasan berlumpur dan banjir di gua itu.