BANGKOK - Dua pelajar pertama berjaya keluar dari permukaan gua Tham Luang yang ditenggelami banjir beberapa jam selepas operasi menyelamat itu dilancarkan, semalam.

“Mangsa pertama berjalan keluar pada jam 5.40 petang manakala seorang lagi rakannya pada 5.50 petang (waktu tempatan). Mereka kemudiannya menjalani pemeriksaan fizikal dan dirawat di khemah perubatan,” kata Ketua Jabatan Kesihatan Chiang Rai, Tossathep Boonthong.

Dalam pada itu, Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osoththanakorn mengesahkan empat pelajar berjaya dibawa keluar dari gua Tham Luang.

“Kesemua mereka perlu menyelam sejauh satu kilometer. Operasi seterusnya untuk membebaskan baki mangsa akan dilakukan dalam tempoh 10 hingga 12 jam akan datang.

“Misi ini lebih berjaya daripada apa yang dijangkakan. Semua orang gembira,” katanya dalam satu sidang media.

Kesemua mereka terperangkap pada kedalaman 800 meter di bawah tanah bersamaan ketinggian dua bangunan Empire State di New York atas satu sama lain.

Operasi menyelamat disertai 18 penyelam termasuk 13 penyelam antarabangsa dan anggota unit Seal Tentera Laut Thailand itu berlaku jauh lebih cepat daripada jangkaan awal.

Terdahulu, Narongsak memaklumkan operasi itu sebagai sangat berisiko.

Kesemua mangsa dilaporkan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal serta akan dibantu dua penyelam berpengalaman bagi melepasi laluan berbahaya tersebut.

“Inilah harinya. Kesemua mereka telah dimaklumkan mengenai operasi tersebut dan bersedia untuk keluar dan berdepan sebarang cabaran,” katanya.

Usaha membawa keluar remaja berusia 11 hingga 16 tahun terbabit serta jurulatih mereka yang berumur 25 tahun terpaksa dipercepat susulan musim monsun yang diramal bermula semalam.

Musim monsun yang membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir dikhuatiri mengancam keselamatan mangsa.