Jakarta - Menteri Pendidikan dan Kebudayaan (Mendikbud), Muhadjir Effendi berkata, usaha pemulihan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di Nusa Tenggara Barat (NTB) akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

"Sesi persekolahan sudah boleh bermula selepas tempoh tersebut," katanya.

Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (Kemendikbud) juga sudah memperuntukkan bajet dan kemudahan untuk mempercepatkan fasa pemulihan pasca gempa, selain memberikan  elaun khas kepada guru.

Difahamkan, Kemendikbud telah menghantar bantuan penuh termasuk 21 trak ke Lombok, yang mana ia diharap dapat digunakan dan mempercepatkan proses pendidikan di NTB.

"Kementerian bersama gabenor telah mengisytiharkan tiada hari tanpa sekolah. Apa jua keadaan sesi pembelajaran tetap diteruskan. Tiada hari tanpa sekolah," ujar Muhadjir.