NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 13 murid maut apabila van sekolah yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta api di persimpangan landasan yang tidak dikawal di utara India semalam.

Insiden tragis di negeri Uttar Preadesh itu turut menyebabkan lima mangsa cedera parah.

"Semua mangsa berumur di bawah 10 tahun dan mangsa yang terbunuh maut serta merta di tempat kejadian," kata pegawai perubatan daerah, Akhilesh Kumar Singh.

Tambah Akhilesh Kumar, ketika kejadian terdapat 22 kanak-kanak di dalam kenderaan berkenaan.

Difahamkan van berkenaan bertembung dengan kereta api penumpang Siwan-Gorakhpur, namun punca kemalangan masih belum diketahui.

Ia kemalangan kedua terbesar membabitkan murid sekolah dalam tempoh dua minggu.

Pada 9 April lalu, Sekurang-kurangnya 24 kanak-kanak dan tiga orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas sekolah terjunam ke dalam gaung di utara negeri Himachal Pradesh, India.