CHIANG RAI - Pihak berkuasa Thailand mengarahkan media dan pihak yang tidak berkenaan untuk meninggalkan tapak kem berhampiran pintu masuk gua di mana 12 pelajar lelaki dan seorang jurulatih terperangkap sejak lebih dua minggu lalu.

Arahan dikeluarkan sehari selepas ketua misi menyelamat berkata keadaan ketika itu dilihat sesuai untuk memulakan kerja mengeluarkan mangsa. \

“Semua yang tidak terbabit dengan operasi ini perlu meninggalkan kawasan ini segera. Melihatkan kepada situasi semasa, kami perlu menggunakan kawasan ini untuk membantu mangsa,” kata polis.

Awal minggu lalu, ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn berkata, semua remaja terbabit masih belum bersedia untuk melakukannya, namun kini beliau menyatakan ada peluang untuk mereka mencuba.

“Dalam masa tiga hingga empat hari ini, keadaan semasa paras air, cuaca dan kesihatan kumpulan remaja itu sesuai untuk mengeluarkan mereka,” kata Narongsak kepada media.

"Hujan yang berterusan akan menyebabkan air naik ke paras tempat duduk kumpulan itu, sekali gus menyempitkan ruang sehingga kurang daripada 10 meter persegi,” tambahnya memetik laporan daripada penyelam dan pakar gua.

Kematian seorang bekas anggota Tentera Laut unit Seal Thailand yang kehabisan bekalan oksigen pada Jumaat lalu menjelaskan betapa berisiko perjalanan itu walau untuk seorang penyelam profesional.