BANGKOK - Seramai 12 pelajar bersama jurulatih bola sepak akhirnya ditemui selepas terperangkap selama 10 hari dalam gua Tham Luang di daerah Mae Sai, wilayah Chiang Rai.

Nasib mereka terjawab selepas pasukan penyelam meredah laluan sempit dan air keruh sebelum menemui kesemua 13 mangsa yang berlindung di atas batu tinggi kira-kira empat kilometer dari mulut gua yang ditenggelami banjir itu, lewat kelmarin.

Dua penyelam berpengalaman dari Britain, John Volanthen dan Rick Stanton adalah individu pertama menjumpai mereka.

Kini, pasukan penyelamat sedang berusaha memikirkan cara untuk membawa mereka keluar dengan selamat.

Rakaman video dimuat naik di laman rasmi Facebook Tentera Laut Seal Thailand yang telah ditonton lebih 16 juta kali turut menunjukkan keadaan kesemua mereka yang lemah dan kelaparan selepas lebih seminggu terperangkap.

Pasukan perubatan juga telah menilai keadaan mangsa dan kebanyakan mereka dilaporkan mengalami cedera ringan.

"Hasil pemeriksaan kami mendapati keadaan kesihatan mereka berada dalam kategori hijau," kata Gabenor wilayah Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn.

Jelasnya, mereka kini akan memberi tumpuan kepada fasa 'menyelamat' yang mungkin kompleks dan mengambil masa beberapa bulan.

Sementara itu, jurucakap tentera laut, Kapten Anand Surawan berkata, mereka sedang bersiap sedia untuk menghantar makanan tambahan untuk bekalan selama kira-kira empat bulan dan melatih 13 penyelam yang akan menyertai operasi menyelamat tersebut.

Berita penemuan itu turut disambut gembira seluruh rakyat Thailand yang mengikuti perkembangan usaha mencari dan menyelamat (Sar) tersebut sejak kehilangan pelajar lelaki\ berusia antara 11 dan 16 tahun bersama jurulatih bola sepak berumur 25 tahun dilaporkan pada 23 Jun lalu.