MANADO - Seorang budak perempuan berusia 10 tahun yang bertarung nyawa lebih sebulan akibat dibakar ibu kandungnya meninggal dunia, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Jessica Mananohas menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang dirawat di  Hospital Kandou Manado, Sulawesi Utara.

Jessica dipercayai dibakar menggunakan minyak tanah oleh ibunya. Olga dalam kejadian di rumah mereka di Desa Pintareng, Kecamatan Tabukan Selatan Tenggara pada 12 September lalu.

Berdasarkan laporan perubatan, kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah dan terbakar hampir 85 peratus.

Menurut doktor, peluang untuk Jessica selamat adalah tipis.

"Ibu mangsa mempunyai sejarah mengugut mahu membunuh bekas suami. Dia juga sering melakukan kekerasan terhadap tiga anaknya.

"Kita tidak akan berdiam diri, pelaku dalam kes ini harus dibawa ke muka pengadilan," kata Ketua Lembaga Perlindungan Anak (LPA) Sulawesi Utara, Jull Takaliung. - Detiknews