SEMARANG - Gambar seorang wanita tidur di atas kubur anaknya tular di media sosial, awal minggu ini.

Kejadian dirakam seorang penduduk di sebuah tapak perkuburan Islam di daerah Demak, Jawa Tengah.

Sumber memberitahu, anak wanita terbabit baru sahaja dikebumikan selepas terlibat dalam kejadian kemalangan langgar lari.

Difahamkan, mangsa ialah murid perempuan di sebuah sekolah rendah di daerah itu.

Dia terkorban ketika sedang membonceng motosikal bersama rakannya berhampiran sebuah persimpangan di Jalan Masjid Gajah.

Sementara itu, rata-rata netizen melahirkan perasaan sebak dan meminta suspek menyerah diri.

"Kepada suspek, lihat gambar ini. Sila jumpa ibu ini dan minta maaf daripadanya.

"Jika kamu bertanggungjawab, serah diri. Melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah," kata pengguna Facebook, Yuni Rusmini.

Polis masih menyiasat punca kemalangan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. - Agensi